ARTIKEL

Jambatan Batang Lassa

Jambatan harapan kami

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARAWAK terkenal dengan keindahan alam semula jadi termasuk sungai yang panjang berliku, hutan hujan tropika menghijau serta perkampungan berselerak jauh di pedalaman.

Namun di sebalik keindahan ini, kehidupan penduduk luar bandar suatu ketika dahulu sangat bergantung kepada sungai sebagai laluan utama. Sungai bukan sahaja menjadi sumber rezeki malah menjadi jalan perhubungan, laluan ke sekolah, ke hospital dan ke pekan.

Saya sebahagian anak Sarawak yang hidup di sungai. Di hadapan rumah sungai, di belakang rumah sungai, di bawah rumah air mengalir terutamanya ketika musim tengkujuh.

Saya membesar dan melihat bagaimana pergi ke asrama hujung minggu menggunakan perahu panjang malah ke kampung jiran melalui sungai.

Bagi generasi usia kami, menyeberangi sungai dengan perahu atau bot enjin kecil adalah rutin harian. Dalam cuaca baik, perjalanan mungkin lancar.

Namun apabila hujan lebat, air naik, arus deras dan kabus tebal perjalanan menjadi penuh risiko dan ketidakpastian.

Sepuluh tahun kebelakangan ini, saya melihat sungai bukan lagi keutamaan di tempat saya, sebuah kampung yang terletak di Bahagian Mukah di Matu.

Kami boleh memandu dari Kuching terus ke tangga rumah di sana walaupun masih perlu melalui sebuah feri di Sungai Batang Paloh dan feri Batang Lassa.

Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit ini sebelum siapnya jambatan ini.

Jambatan ini menghubungkan kedua-dua tebing sungai, sebuah pulau ini memerlukan perjalanan merentasi Batang Lassa bukan sekadar memakan masa malah menguji kesabaran.

Pada 2019, saya masih ingat bagaimana kami pernah terpaksa bertunggu giliran menaiki feri sehingga tujuh jam lamanya.

Kereta beratur panjang, enjin dimatikan bagi menjimatkan minyak, sementara pemandu dan penumpang hanya mampu menunggu dengan penuh harapan.

Lebih menyedihkan, pernah juga berlaku keadaan perkhidmatan feri terpaksa dihentikan pada tengah malam.

Ketika itu, tiada pilihan lain kecuali bermalam di dalam kereta.

Ada yang menggalas beg sebagai bantal, ada yang tidur dalam keadaan duduk, namun saya berjaga sepanjang malam kerana tidak selesa serta risau akan keselamatan.

Pagi esoknya, kami masih perlu menyambung semula perjalanan dengan menunggu giliran feri yang pertama beroperasi.

Situasi sebegini bukan perkara luar biasa, malah menjadi rutin yang terpaksa diterima penduduk luar bandar demi meneruskan kehidupan seharian.

Namun hari ini, semua itu tinggal kenangan.

Dengan siapnya Jambatan Muara Lassa, wajah kehidupan penduduk sekitar berubah secara drastik.

Jambatan sepanjang kira-kira 2.43 kilometer ini merentasi Sungai Batang Lassa dan merupakan antara jambatan terpanjang di Sarawak.

Ia mula dibina pada 22 Mac 2019 dengan kos hampir RM600 juta dan siap sepenuhnya sebelum dibuka kepada orang ramai pada 9 Januari 2025.

Pembinaan jambatan ini sebahagian daripada rangkaian jalan pesisir Sarawak yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri serta membuka akses darat yang lebih efisien untuk komuniti luar bandar.

Perjalanan yang dahulunya memakan masa berjam-jam kini hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.

Tidak perlu lagi beratur panjang, tidak perlu lagi menunggu feri, tidak perlu lagi bermalam di dalam kereta. Inilah wajah baharu pembangunan di Sarawak.

Pembinaan jambatan di seluruh negeri bukan sekadar struktur konkrit dan besi, tetapi simbol kemajuan, kemudahan dan harapan. Ia membawa nafas baharu kepada kehidupan masyarakat luar bandar yang selama ini terpisah oleh sungai dan kekangan geografi

. Bagi penduduk kampung, perubahan ini sangat besar maknanya. Kami tidak lagi mengejar feri untuk balik ke kampung.

Perjalanan menjadi lebih selamat, lebih cepat dan lebih selesa.

Bagi petani dan nelayan, jambatan membuka peluang ekonomi yang lebih luas.

Ketika balik ke kampung dua bulan lalu, saya melihat semakin banyak kedai makan di tepi jalan dibina di penempatan di hujung jambatan. Malah hasil pertanian penduduk kampung di kawasan pulau di seberang dibawa ke pekan di sini.

Mereka tidak lagi bergantung kepada bot yang menjimatkan kerana selain kos pengangkutan, masa dapat dijimatkan dan hasil boleh sampai dalam keadaan lebih segar.

Nelayan pula lebih mudah menghantar hasil tangkapan ke pusat pengumpulan ikan di kawasan pekan. Tidak perlu lagi menunggu air pasang atau bergantung kepada cuaca. Semua ini memberi kesan langsung kepada pendapatan keluarga.

Lebih menarik, akses perkhidmatan kesihatan juga menjadi jauh lebih baik.

Dahulu, membawa pesakit ke klinik atau hospital merupakan satu cabaran besar bagi penduduk di pulau seberang. Mereka terpaksa mengharungi sungai dalam keadaan sakit, ada yang terpaksa menunggu lama kerana bot tidak tersedia.

Kini, dengan adanya jambatan, ambulans boleh masuk terus ke kampung.

Pesakit boleh dibawa keluar dengan cepat tanpa risiko perjalanan sungai.

Dalam banyak kes, jambatan telah menyelamatkan nyawa. Ia turut memberi kelegaan kepada rakan-rakan guru yang saya kenali. Mereka boleh balik ke rumah pada bila-bila masa.

Dahulu, mereka terpaksa menunggu perahu ke seberang dan terpaksa balik hari Ahad sehari sebelum persekolahan.

Kini, pagi Isnin sebelum kelas bermula mereka boleh memandu dari rumah.

Namun pembangunan ini bukan datang dalam sekelip mata. Ia memerlukan perancangan rapi, kos yang besar, tenaga kerja mahir serta komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat luar bandar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU