SARIKEI: Penduduk pedalaman di Julau khususnya Ulu Mujok akhirnya menarik nafas lega apabila projek pembinaan Jambatan Nanga Meluan siap sepenuhnya.
Jambatan yang merentangi Sungai Kanowit itu bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk tetapi juga mampu melonjakkan sosial dan ekonomi penduduk setempat.
Berkongsi kegembiraan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin menyifatkan jambatan berkenaan sebagai nadi perhubungan penduduk yang sebelum ini hanya bergantung perhubungan dengan sungai.
“Jika sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan yang panjang namun, selepas siapnya jambatan Nanga Meluan, penduduk tidak lagi melalui sungai tetapi menggunakan jalan darat dengan jarak perjalanan yang lebih singkat,” katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau turut memuji kecekapan agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang berusaha keras menyiapkan pelaksanaan projek tersebut.
Selain penularan Covid -19 katanya, projek berkenaan juga terpaksa menempuh pelbagai cabaran lain termasuk keadaaan geografi dan cuaca yang tidak menentu.
“Kini projek ini sudah siap sepenuhnya, saya yakin ia memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan ini termasuk klinik dan sekolah.
“Tidak hanya sekadar itu, kawasan ini juga mempunyai banyak tarikan lain seperti Kubu Brooke dan air terjun, yang secara tidak langsung menjadi tarikan pengunjung sekali gus membuka peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.




