BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan majlis pra pelancaran Jambatan Sungai Krian dalam satu acara rasmi di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan Jalan Pesisir Sarawak di bawah Pakej D4.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana di bawah kementeriannya bagi memastikan kelancaran pembinaan.
Katanya, pembinaan jambatan berkenaan diamanahkan kepada kontraktor utama, EPR (Kuching) Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak berjumlah lebih RM112 juta.


“Jambatan Sungai Krian mempunyai panjang keseluruhan 1.227 kilometer, termasuk struktur utama sepanjang 690 meter yang dibina dengan 12 bentangan.
“Reka bentuknya melibatkan dua lorong utama selebar lapan meter serta dilengkapi jalan pendekatan di kedua-dua arah dengan lebar 6.5 meter bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna,” katanya.
Dengan siapnya jambatan itu, ia menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan Jambatan Batang Saribas No. 2 ke persimpangan Roban di Lebuhraya Pan Borneo.
Selain meningkatkan ketersambungan, projek ini memberi manfaat besar kepada penduduk setempat apabila tempoh perjalanan yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri selama kira-kira 15 minit kini dipendekkan dengan ketara.
Dalam masa sama, kewujudan jambatan ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan mobiliti orang ramai serta membuka peluang baharu dalam sektor perniagaan dan pelancongan.

