SPAOH: Projek pembinaan Jambatan Sungai Paku, yang bakal menjadi penghubung penting bagi penduduk daerah ini, dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah berkata beliau mendapat jaminan daripada kontraktor semasa lawatan ke tapak projek tersebut.
Katanya, jambatan keluli lengkung tunggal sepanjang 107 meter yang menelan kos RM36.9 juta itu pernah dikategorikan sebagai projek sakit, tetapi diteruskan dengan pelantikan kontraktor penyelamat pada awal Mei 2023.
“Jika Jambatan Batang Lupar Satu, yang menelan belanja RM375.5 juta dan sepanjang 4.8 kilometer merentasi Sungai Batang Lupar, boleh disiapkan hujung tahun ini, saya tidak nampak mengapa jambatan Sungai Paku yang lebih pendek dan lebih murah tidak boleh disiapkan pada masa yang sama.
“Untuk rekod, Jambatan Batang Lupar Satu akan menjadi jambatan merentasi sungai terpanjang di negara ini apabila siap kelak,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran komuniti Kampung Spaoh, hari ini.


Uggah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, mengumumkan beberapa projek pembangunan bernilai RM91.5 juta untuk Spaoh. Beliau berkata sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi sistem saliran dan pengairan di Bebuling Agropark.
“Meliputi kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar, ia akan menempatkan salah satu rumah hijau terbesar di negeri ini. Kita telah melantik tiga syarikat anchor untuk mengetuai pembangunan ini. Mudah-mudahan, kita akan dapat melihat pelaksanaannya dalam tahun ini,” katanya.
Bagi kawasan Tanjung Sebekut, yang dikenal pasti sebagai salah satu kawasan penanaman padi di negeri ini, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bersetuju untuk memperuntukkan RM6.5 juta bagi membawa masuk bekalan air dan elektrik.
“Nasihat saya ialah agar semua pemilik tanah memberi kerjasama penuh dan menyokong pelaksanaan projek ini,” katanya.
Uggah turut mendedahkan bahawa sebuah dewan serbaguna baharu juga akan dibina dengan peruntukan RM25 juta, yang mampu memuatkan lebih 2,000 orang.
Bagi projek pusat hemodialisis Spaoh yang bernilai RM5 juta, beliau menjelaskan bahawa ia akan ditender pada bulan Jun tahun ini.
Sementara itu, para penjaja dan peniaga kecil di sini akan mempunyai satu lagi tempat untuk menjalankan perniagaan mereka dengan pembinaan pusat ‘Pasar Malam/Medan Selera’ baharu yang bernilai RM5 juta.
Uggah juga menambah bahawa Lembaga Pembangunan dan Pemuliharaan Tanah (LCDA) sedang dalam proses membina 10 unit kedai baharu di pekan ini.

