SIMANGGANG: Projek pembinaan jambatan konkrit bernilai RM5 juta menyeberangi Sungai Undop berhampiran penempatan Kampung Beleti Undop Ili yang telah siap dijangka membantu penduduk meneroka tanah baharu bagi tujuan pembangunan ekonomi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek yang diperuntukkan oleh Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) itu turut bakal memudahkan urusan penduduk.

“Jambatan konkrit ini dibina oleh syarikat kontraktor ROSBEN Holding Sendirian Berhad dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman bertindak sebagai agensi pelaksana projek.
“Kemudahan baharu ini akan diserahkan kepada agensi penyelenggara setelah semua kerja selesai dan pihak berpuas hati terhadap hasil kerja kontraktor,” katanya selepas melakukan lawatan ringkas terhadap kemudahan baharu itu, di sini, semalam.
Terdahulu, pelaksanaan projek jambatan konkrit itu bermula pada 12 Januari 2024 dengan kos asal sebanyak RM4.2 juta setelah jambatan gantung sedia ada sudah usang dan tidak selamat digunakan.
Skop kerja projek berkenaan melibatkan pembinaan sebuah jambatan jenis hibrid sepanjang 70 meter dengan lebar empat meter.
Projek tersebut pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pada 2018 namun disebabkan faktor peruntukan, ia dirujuk kepada SADA pada 2020.
Dalam pada itu, beliau turut melawat tapak cadangan naik taraf jalan akses dari Gereja Saint Lawrence hingga ke jambatan konkrit menuju Kampung Beleti.



