ARTIKEL

Razi bersama yang lain ketika menyempurnakan Mesyuarat Induk Sambutan Jubli Intan SMK Saribas di Bangunan Baitulmakmur II.

Jamuan makan malam amal sasar kutipan RM300,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penganjuran Jamuan Makan Malam Amal sempena Sambutan Jubli Intan ulang tahun ke-60 SMK Saribas, Betong menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bagi menyokong pembangunan sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, pengumpulan dana tersebut merupakan inisiatif pihak sekolah selain bergantung pada peruntukan kerajaan.

“Sasaran kutipan dana ditetapkan sebanyak RM300,000 dan dana ini akan digunakan bagi keperluan pembangunan sekolah, khususnya melibatkan penambahbaikan persekitaran SMK Saribas.

“Malah, kita menyasarkan jumlah sumbangan yang lebih besar melalui penyertaan alumni dalam kalangan tokoh korporat, pegawai kanan kerajaan serta kontraktor dan usahawan yang merupakan bekas pelajar sekolah ini,” katanya.

BERCAKAP… Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Mesyuarat Induk Sambutan Jubli Intan SMK Saribas di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Sementara itu, program makan malam tersebut dijangka berlangsung di Hotel Imperial pada Jun ini dan menjadi acara kemuncak sambutan jubli berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut berharap agar seramai mungkin alumni SMK Saribas dapat menghadiri majlis tersebut.

“Kita juga telah berbincang untuk membawa bekas guru yang pernah berkhidmat sekitar tahun 1960-an, termasuk tenaga pengajar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom yang dibawa masuk pada era Komanwel,” katanya.

Dalam pada itu, Razi menjelaskan bahawa Sambutan Jubli Intan SMK Saribas akan diadakan secara berperingkat sepanjang 2026 bermula April dan berakhir pada Oktober.

“Dua program akan berlangsung pada April iaitu Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan dan Hari Terbuka SMK Saribas serta Malam Jubli Intan Berentak (Pentas Agung), selain Makan Malam Amal pada Jun dan Larian Ria Intan pada Oktober,” katanya ringkas.

Sambutan ini merupakan acara istimewa yang meraikan enam dekad penubuhan dan pencapaian sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsiah pelajar.

Sambutan ini juga bertujuan menghimpunkan warga sekolah, alumni, komuniti setempat serta rakan strategik bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta mengimbau sejarah kegemilangan sekolah sejak penubuhannya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU