SARATOK: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka memiliki ahli paling ramai dengan merekodkan 6,134 Ahli Pertubuhan Peladang dengan 5,990 daripadanya merupakan ahli aktif.
ADUN Kalaka, Mohammad Duri berkata, untuk itu Saratok antara lokasi yang berpotensi untuk menjana ekonomi menerusi sektor pertanian.
Tambahnya, bancian semula berkaitan ahli turut dibuat semula untuk mengenal pasti dan mengemas kini rekod ahli terkini. “Ahli peladang di DUN Kalaka antara yang paling ramai dan masih aktif di Sarawak.
Ini membolehkan daerah Saratok secara amnya, berpotensi untuk menjana ekonomi melalui pertanian.
“Banyak projek bakal dilaksanakan untuk meningkatkan infrastuktur pertanian di DUN Kalaka pada tahun hadapan dan usaha ini penting untuk memastikan sosioekonomi rakyat terus bergerak secara progresif dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Randau Pembangunan Pertanian Daerah Saratok di Dewan Krian Saratok.
Dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Saratok, program itu disertai oleh seramai 135 peserta.
Program itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini dalam bidang pertanian serta isu semasa yang berkaitan.
Selain itu, beberapa taklimat berkaitan penanaman sawit oleh pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut diadaklan, di samping taklimat keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Saratok.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Perkembangan) Jabatan Pertanian, Badin Unor; Pegawai Pertanian Betong, Syls Elly Sumbang; Pegawai Menguasa Daerah Pejabat Pertanian Daerah Saratok, Duat Gayok dan Ketua Polis Daerah Saratok, Mohdani Tani.



