KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) digesa untuk menempatkan alat penggera amaran keselamatan di kawasan yang terlibat projek pengubahsuaian jalan.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Soo Tien Ren berkata, ia sebagai inisiatif mengelakkan sebarang kemalangan berlaku ketika kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan, sekali gus memberi langkah berjaga-jaga kepada para pengguna jalan raya yang melalui laluan terbabit.
“Kontraktor wajib memasang semula peranti amaran sebelum dan selepas pengubahsuaian jalan sedang dilakukan, bukannya mengfokuskan kontrak baik pulih sahaja namun peranti amaran itu diabaikan sedangkan ia merupakan sebahagian daripada infrastruktur jalan raya.
“Dalam erti kata lain, kontrak kerajaan dengan kontraktor perlu mewajibkan pemulihan peranti amaran dipasang sebelum projek itu siap sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pengasingan bagi projek pemulihan peranti dan projek naik taraf menjadi persoalan untuk tanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan di lokasi berkaitan.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan setakat ini lima kemalangan jalan raya telah berlaku di kawasan projek naik taraf dari jalan Stephen Yong ke arah MJC.
Katanya, punca kemalangan berlaku disebabkan pertukaran laluan tiga lorong kepada dua lorong yang dilihat begitu sempit.
“Disebabkan kurang persempadanan yang jelas di pembahagi jalan, banyak kenderaan menyedari pembahagian lorong pada saat akhir sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran di pembahagi jalan,” dedahnya.
Hasil tinjauan ke lokasi itu hari ini, beliau menegaskan penduduk di lokasi terbabit telah membuat beberapa aduan berkaitan kepada MPP sebelum ini.


