Jangan beli barang secara incit-incit

DEBAK: Setiap anggota masyarakat sepatutnya menyesuaikan diri dengan norma kehidupan baharu yang diterapkan oleh kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 termasuk tidak membeli barang keperluan secara ‘incit-incit’.

Pegawai Daerah Betong, Sofhi Jebal memberitahu, salah satunya dengan mengehadkan aktiviti dan pergerakan harian.

Katanya, kebenaran untuk membeli barang keperluan tidak harus disalah guna terutamanya bagi anak muda.

“Kalau kita masih berdegil, asyik keluar tanpa alasan yang munasabah, inilah yang berlaku… lanjutan PKP dua minggu lagi sehingga 28 April depan.

“Kita faham, ada yang harus keluar membeli kelengkapan dapur di pasar.

Namun apa yang mengecewakan, didapati masih ramai yang berulang-alik ke pasar dengan kerap. “Jangan membeli barang secara ‘incit-incit’ (sedikit-sedikit)… mula-mula beli pusuk, keluar agik beli garam, pasya keluar agik beli gula sedangkan ia boleh dibeli serentak.

Ini yang kita tidak mahu,” tegasnya. Beliau bercakap demikian dalam satu program turun padang Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk menasihati masyarakat secara lebih dekat di sini kelmarin.

Jelasnya, anak-anak muda juga harus dipantau ekoran masih ada yang keluar tanpa urusan penting.

“Jangan pandang remeh pandemik Covid19 ini.

Ia merebak di seluruh dunia, maka sebab itu kerajaan menguatkuasakan PKP agar rantaian virus dapat diputuskan.

“Namun, andai kita masih berdegil dan enggan mematuhi arahan kerajaan… kita risau akan gelombang yang lebih teruk.

“Justeru, saya merayu dalam tempoh berbaki lebih dua minggu ini agar masyarakat kekal di dalam rumah demi kebaikan bersama-sama, supaya suatu hari kelak kita mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

“Bahagian Betong khususnya harus dipastikan benar-benar bebas daripada sebarang jangkitan,” ujarnya.

Sofhi dalam pada itu mengingatkan masyarakat agar tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana apa yang berlaku kini bukan sesuatu yang dimahukan.

Beliau turut berterima kasih kepada masyarakat yang mengambil serius nasihat kerajaan.

Suara Sarawak