KUCHING: Individu mempunyai kecenderungan mencederakan diri sehingga mencuba bunuh diri, tidak harus dihukum tetapi mesti menerima rawatan mental dan bimbingan kaunseling.
Menerusi laporan media Isnin lalu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mengemukan cadangan supaya memansuhkan hukuman kepada individu berhasrat membunuh diri.
Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574), cubaan membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Menurut Dr Kelvin, undang-undang bunuh diri tersebut adalah lapuk dan tidak mampu mencegah masalah sebaliknya menambahkan kesan negatif kepada individu terbabit.
Nur Ameera Iskandar, 22, berasal dari Sematan dan merupakan pelajar sebuah institusi awam menyatakan individu berniat untuk membunuh diri tidak harus dihukum.
“Individu tersebut harus diberi bimbingan dan rawatan mental.
“Kemungkinan besar mempunyai masalah keluarga, masalah perhubungan sehingga hilang keyakinan diri dan buntu mencari penyelesaian masalah,” katanya semasa ditemu bual oleh Suara Sarawak.
Tambah Ameera, sekiranya hukuman diteruskan kemungkinan menambahkan lagi beban dan tekanan dihadapi oleh individu terbabit.
“Sekiranya diteruskan hukuman, kemungkinan besar individu tersebut mengulangi niatnya hingga terjadi kemalangan jiwa,” katanya lagi.
Manakala Nurmadinah Apit, 22, berasal dari Bau berkata, meneruskan hukuman kepada individu terbabit memberi kesan positif dan negatif.
“Secara positifnya, hukuman boleh menyedarkan pelaku untuk tidak mengulang kesilapan sama.
“Kesan daripada hukuman diterima boleh menambahkan tekanan kepada individu terbabit yang disahkan mengalami masalah mental,” katanya semasa ditemu bual.
Tambah Nurmadinah, kerajaan harus mempunyai alternatif untuk membantu individu berniat membunuh diri dengan menyediakan sebuah pusat motivasi memulihkan keyakinan diri.
Bagi Elisa Lawrence, 21 berasal dari Kota Kinabalu Sabah, hukuman bunuh diri harus dimansuhkan.
“Pelaku mungkin tidak mempunyai niat untuk membunuh diri tetapi akibat gagal menyelesaikan masalah dan hilang keyakinan punca mereka tekad membunuh diri.
“Masalah kemurungan tidak dapat dilihat melalui mata kasar kerana individu terbabit kelihatan tidak mempunyai masalah hingga saat mereka ingin membunuh diri,” katanya.
Tambah Elisa, pembangunan modal insan lebih positif bermula daripada keluarga di rumah,=.
“Keluarga bermasalah akan memberi impak negatif kepada anak sehingga masalah seperti ini timbul,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar ada pusat rawatan khas masalah mental dan kemurungan ditubuhkan bagi individu berniat membunuh diri.
Nurul Shazira Mohd Tahir, 21, berasal dari Sandakan Sabah menyatakan hukuman bunuh diri tidak harus diteruskan.
“Individu berniat melakukan hal itu mungkin berpunca daripada kes buli hingga mereka hilang keyakinan diri.
“Tekanan daripada selalu dibuli oleh rakan sekolah punca individu atau remaja tekad untuk membunuh diri,” jelasnya.
Tambah Shazira, sokongan keluarga dan masyarakat diperlukan untuk membantu individu tersebut pulih dari masalah yang dihadapi.
Beliau juga turut berharap agar kerajaan mempunyai pusat pemulihan dan motivasi kepada individu terbabit.
Fifie Izzaty, 22, berasal dari Tawau Sabah, hukuman bunuh diri harus diteruskan namun melihat kepada masalah mental individu terbabit.
“Sebelum menjalani hukuman, individu harus menjalani pemeriksaan kesihatan mental terlebih dahulu.
“Ini kerana, kadangkala ada individu yang sengaja berbuat demikian untuk menarik perhatian umum,” ujarnya.
Tambah Fifie, masalah bunuh diri selalu ditimbulkan oleh golongan remaja yang mempunyai masalah dalam hubungan percintaan.
“Demi menarik perhatian kekasih mereka sanggup melakukan hal yang tidak masuk akal seperti membunuh diri atau mencederakan diri sendiri,” ujarnya lagi.