KUCHING: Kempen Piala Dunia 2026 yang akan disingkap tirainya esok (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) terus mencetus keterujaan luar jangka dalam kalangan pelbagai individu.
Ramai yang tidak sabar untuk bersama-sama merasai kemeriahan temasya sukan nombor satu di dunia itu.
Tidak terkecuali, persoalan pasukan manakah yang akan bergelar juara edisi kali ini juga terus menjadi perdebatan hangat.
Ramalan juara menimbulkan pelbagai reaksi yang menghadirkan tanda tanya yang cukup signifikan.
Grazeline Nyirin, 35.
“Saya tidak sabar untuk menanti saat bermula Piala Dunia 2026. Lebih-lebih lagi keinginan untuk menyaksikan pemain pasukan pilihan beraksi. Dua pasukan kegemaran saya iaitu Brazil dan England mempunyai peluang untuk bergelar juara.”

Halimah Musa
“Saya percaya berlaku pertembungan penuh dramatik untuk saingan kali ini yang menghimpunkan 48 pasukan. Saya yakin Argentina mampu mengekalkan status juara bertahan. Memang masih terlalu awal membuat andaian ke arah itu. Namun, saya yakin Argentina mampu mengulangi pencapaian terbaik edisi lepas sekali lagi bergelar juara pada 2026.”

Aisyah Thai Hui Cheng
“Turun sebagai juara bertahan, saya yakin Argentina semahunya mengulangi semula pencapaian terbaik mereka pada musim kali ini.”

Nur Erna Abdul Rahman, 25.
“Pasukan Sepanyol rasanya akan bergelar juara Piala Dunia kali ini. Saya pilih Sepanyol sebab mereka ada skuad yang seimbang dan diperkuat ramai pemain muda berbakat. Corak permainan mereka juga konsisten, Jadi ,saya rasa Sepanyol boleh pergi jauh kali ini.”

Julius Ating
“Argentina semestinya memang antara pilihan untuk bergelar juara kali ini. Namun Brazil, Perancis, Jerman dan Sepanyol juga berpeluang mencetak gelaran tersebut. Saya yakin pertembungan 48 pasukan kali ini pasti lebih sengit.

Kurniawan Dwiyulianto
“Argentina kekal dengan aura juara edisi lepas dan ramai yang beranggapan pasukan terbabit mampu mengulangi prestasi sama. Bagaimanapun, empat pasukan lain seperti Jerman, Perancis, Portugal dan Sepanyol turut berpeluang sama.


