KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, langkah itu bertujuan memperluas peluang bimbingan industri, padanan perniagaan dan akses pasaran bagi membantu usahawan belia mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa berkenaan merupakan hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC).

“Usaha ini bertujuan membuka lebih banyak peluang bimbingan industri, padanan perniagaan, akses pasaran dan kerjasama strategik bagi membantu usahawan belia memulakan, mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, berkaitan perancangan kementerian untuk memperkasakan pembangunan start-up belia pada persidangan DUN Sarawak, di sini hari ini.
Dr Ripin menjelaskan, jawatankuasa khas itu ditubuhkan melalui kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak.
Katanya, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan pelibatan sektor swasta dan GLC dalam menyokong pertumbuhan start-up serta PMKS di negeri ini.
Menurutnya, antara keutamaan inisiatif itu ialah menyediakan peluang bimbingan industri bagi membantu usahawan belia meningkatkan keupayaan mengurus dan membangunkan perniagaan.
“Padanan perniagaan turut diberi penekanan bagi menghubungkan usahawan dengan pemain industri serta membuka ruang kerjasama strategik.
“Peluasan akses pasaran juga menjadi antara usaha penting bagi membolehkan usahawan belia meneroka peluang perniagaan yang lebih luas,” katanya.
Tambah beliau, kementerian turut memberi perhatian terhadap pembangunan start-up belia melalui pendekatan menyeluruh merangkumi latihan, akses pembiayaan, penggunaan teknologi dan peluasan pasaran.
Pendekatan itu katanya dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kepada usahawan belia pada pelbagai peringkat pembangunan perniagaan, daripada fasa permulaan hingga pengembangan operasi.


