KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, bantuan itu merupakan antara sokongan kewangan yang disediakan kementerian bagi membantu golongan belia menceburi bidang keusahawanan.
Menurutnya, pemberian geran berkenaan tertakluk kepada syarat kelayakan dan kelulusan permohonan.

“Melalui Geran SYStartUP, peserta yang layak boleh memohon bantuan sehingga RM15,000, tertakluk kepada syarat dan kelulusan permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, mengenai skim sokongan kepada usahawan belia pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Ripin berkata, selain geran permulaan, kementerian turut menyediakan akses kepada kemudahan pembiayaan bagi membantu usahawan belia memulakan serta mengembangkan perniagaan.
Katanya, sokongan itu melengkapi pelaksanaan kursus intensif dan program pembangunan ilmu keusahawanan bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran golongan berkenaan.
Dalam pada itu, Hab SYStartUP pertama di Sarawak turut diwujudkan sebagai pusat rujukan dan platform jaringan yang memudahkan usahawan belia mendapatkan maklumat program keusahawanan, peluang pembiayaan serta khidmat bimbingan.
Hab berkenaan dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, di Pejabat Persatuan Usahawan SYStartUP Sarawak, Jalan Kulas Tengah, Kuching, semalam.
Menurut Dr Ripin, hab itu juga berfungsi sebagai pusat penyelarasan dan pengurusan bagi membantu pembangunan serta pengembangan perniagaan secara lebih strategik.


