ARTIKEL

Wee (kiri) dan Cassidy (kanan) pada sidang media berhubung insiden bangunan runtuh di Jalan Padungan, di sini, hari ini.

Jangan politikkan isu bangunan kedai runtuh di Jalan Padungan – Wee

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Insiden sebahagian bangunan kedai yang runtuh di Jalan Padungan, di sini, tidak seharusnya dipolitikkan, tegas Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.

Menurutnya, dalam keadaan masyarakat menghadapi musibah seperti itu, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama untuk keselamatan awam serta pemeliharaan warisan.

“Saya menyeru dengan penuh hormat kepada semua pihak, termasuk pemimpin, agar tidak mempolitikkan isu ini.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk kita menuding jari atau menyalahkan sesama sendiri,” katanya pada sidang media berhubung insiden bangunan runtuh di Jalan Padungan, di sini, hari ini.

Wee dan Cassidy meninjau kawasan bangunan kedai mengalami keruntuhan bahagian hadapan di Jalan Padungan, di sini.

Beliau menambah, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua wakil rakyat atau pihak berkepentingan dalam menangani permasalahan tersebut.

“Justeru, mari kita ketepikan soal politik dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi komuniti kita.
“Kami juga menyeru kerjasama komuniti, khususnya pemilik bangunan, untuk melaporkan sebarang kerosakan atau tanda-tanda kerosakan kepada majlis dengan segera.

“Keselamatan bukan sahaja perlu diutamakan tetapi juga merupakan tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Untuk rekod, jurucakap JBPM Sarawak menyatakan sebahagian dinding kedai berkenaan runtuh, dengan panggilan mengenai kejadian itu diterima pada 6.23 pagi semalam.

Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan tiba di lokasi dan mendapati dinding bangunan itu retak serta runtuh.

Namun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit.
Sehubungan itu, Wee memaklumkan bahawa ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab telah mempersendakan dan menyebarkan video insiden tersebut.

“Seperti yang saya katakan, ini bukan masa yang sesuai. Apabila berlaku insiden sedemikian, jangan mengambil kesempatan. Ini bukan masa untuk membuat lawak jenaka.
“Kita tidak akan menang dengan memperlekehkan Datuk Bandar atau mereka yang bekerja di lapangan. Itu adalah tindakan tidak adil.

“Saya berharap pihak berkenaan menghentikan tindakan tidak wajar ini, dan sudah tiba masanya kita menjadi lebih bijak dalam menggunakan media sosial,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau juga meluangkan masa bersama wakil lain untuk meninjau keadaan bahagian hadapan yang runtuh itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU