Jangan racun, tuba sungai

DEBAK: Sebanyak 10,000 benih udang galah dilepaskan ke dalam Sungai Rimbas dalam tempoh 10 bulan. Menurut Adun Saribas Mohammad Razi Sitam, ini bagi memastikan Sungai Rimbas yang pernah terkenal dengan kekayaan udang galah terus menjadi habitat yang sesuai.
“Ini sekali gus menambah stok sumber perikanan sungai di Daerah Kecil Debak. “Bagaimanapun, saya menagih kerjasama semua untuk bersama-sama menjaga ekosistem sungai dengan tidak melakukan aktiviti yang dilarang.
“Saya mohon janganlah meracun, menuba, mengebom atau menggunakan arus elektrik untuk mendapatkan hasil sungai dengan mudah kerana perbuatan ini tidak bertanggungjawab. Hanya akan memusnahkan sumber perikanan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program melepaskan benih udang galah dan ikan siakap di tebingan Sungai Rimbas, pada Jumaat.

RAZI Sitam menerima sumbangan benih udang galah dan ikan siakap daripada Petrus pada program melepaskan benih di tebingan Sungai Rimbas,

Jelasnya, masyarakat setempat perlu memainkan peranan masing-masing terutama menegah atau melaporkan salah laku perbuatan terlarang itu kepada pihak berkuasa.
“Lapor segera kepada Pejabat Pertanian Bahagian sekiranya mengetahui kegiatan salah berkenaan,” nasihatnya kepada orang ramai.
Beliau mahu benih udang galah dan ikan siakap yang dilepaskan membesar dengan sempurna seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya nelayan.
Razi dalam pada itu berterima kasih kepada Pejabat Pertanian Bahagian Betong yang telah membekalkan 5,000 benih udang galah dan 1,600 benih ikan siakap bersaiz empat inci.
Kesemua benih disediakan oleh Stesen Perikanan Darat Sematan. Terdahulu pada Mac 2020, sebanyak 5,000 anak benih udang galah dilepaskan dekat sungai yang sama.
Pegawai Pertanian Bahagian Betong Petrus Kang; Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi; Penghulu Masyarakat Melayu Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili antara yang turut hadir.

Suara Sarawak