
SIBURAN: Budaya ‘Cah Keting’ atau sabotaj tidak seharus dilakukan oleh individu yang melobi untuk bertanding menggunakan tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, ketiga-tiga Adun dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo iaitu Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serumbu) menegaskan bahawa sokongan tidak berbelah bahagi harus diberikan kepada calon GPS Datuk Willie Mongin agar memperoleh kemenangan bergaya.
Bagi Sagah, budaya sabotaj tidak harus berlaku kerana Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah parti yang berdisiplin dan mematuhi prinsipalnya yang tersendiri.
“Orang ramai harus memahami bahawa kita bukan berjuang untuk Puncak Borneo tetapi berjuang untuk Sarawak kerana kita adalah GPS.
“Mereka yang melobi, kita boleh bawa mereka duduk berbincang. Mereka orang yang munasabah dan dapat menyokong parti kerana semua ini tentang parti,” katanya kepada media selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon Parlimen Puncak Borneo, Pejabat Daerah Siburan, di sini hari ini.
Sementara Miro yang juga Ketua Pemuda PBB berkata, perbezaan dan persengketaan selama ini harus diterjemahkan sebagai sokongan terhadap calon GPS.
“Rayuan saya untuk beri sokongan penuh kepada GPS kerana kita mahu memastikan bahawa apa yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Premier, perjuangan kita memartabatkan Sarawak itu amat penting.
“Itu yang kita utarakan kepada penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi di Puncak Borneo. Mohon beri sokongan penuh kerana itu pejuangan kita di negeri Sarawak,” katanya.
Manakala Jerip berkata, perjuangan pada PRU ini bukan bersifat individu tetapi perjuangan untuk Sarawak keseluruhan dan Puncak Borneo amnya.
“Kita faham adat demokrasi tetapi ramai berminat untuk menjadi calon tetapi hal peribadi itu kita abaikan.
“Yang penting kita kerjasama supaya kemenangan GPS di Puncak Borneo dapat dicapai dengan baik sekali,” ujarnya.
Kerusi Parlimen Puncak Borneo pada PRU-15 menyaksikan Willie berdepan dua pencabar iaitu Pakatan Harapan (PH) Diog Dios dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) Iana Akam.
Pada PRU yang lepas, Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo dengan meraih 4,005 undi majoriti dalam saingan tiga penjuru.
Beliau memperoleh 18,885 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Genot Sinel yang meraih 14,860 dan calon Star, Buln Patrick Ribos yang sekadar mendapat 795 undi.





