ARTIKEL

Jawatankuasa khas ditubuh untuk pengambilalihan Pelabuhan Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Khas pengambilalihan Pelabuhan Bintulu akan memastikan operasi pelabuhan tidak terjejas dengan proses pertukaran status.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya yakin dengan kerjasama, sokongan dan pengalaman semua pihak yang terbabit, Pelabuhan Bintulu dapat diambil alih menjelang akhir tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu sebagai peristiwa paling bersejarah untuk Sarawak.

“Matlamat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan pelabuhan itu sebagai pelabuhan Sarawak kini tercapai.

“Bagaimanapun masih banyak yang perlu dilakukan untuk memudahkan pemindahan aset dan pengurusannya sebelum ini.

“Justeru, ditubuhkan jawatankuasa bersama yang dikenali sebagai Jawatankuasa Khas untuk menyelia dan memudahkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman MoU (untuk kelancaran pemindahan pelabuhan termasuk aset dan pengurusan).

“Langkah ini bagi memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas atau terganggu dengan proses pertukaran status,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Jawatankuasa Khas berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Premier serta anggota lain yang dilantik.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab memantau dan memudahkan pelaksanaan MoU kelancaran pemindahan pelabuhan,” ujarnya.

Menurut Uggah, ia dibantu oleh Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.

“Jawatankuasa Kerja akan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, dan terdiri daripada beberapa ahli.

“Sementara Jawatankuasa Teknikal akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan dan Setiausaha Kewangan Sarawak, dan terdiri daripada beberapa ahli yang dilantik.

“Pihak atau individu tambahan dijemput untuk mengambil bahagian dalam mana-mana mesyuarat atau penglibatan Jawatankuasa Khas untuk memberikan pendapat mereka mengenai perkara yang berkaitan dengan perubahan status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

“Di pihak Kerajaan Sarawak, kita juga telah membentuk Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) melalui Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961,” tambahnya.

Beliau menambah, dengan pencapaian paling penting (kelulusan RUU) semua pelabuhan di wilayah ini kini menjadi milik Sarawak.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan awal beliau menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak. Juga terima kasih kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook kerana memudahkan RUU diluluskan dengan cepat.

“Kita juga berterima kasih kepada semua ahli Dewan Rakyat yang menyokong RUU sehingga diluluskan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU