SIBU: Jawatankuasa pasukan petugas untuk memantau pembinaan jambatan di bandar ini bakal ditubuhkan.
Ia akan diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee, dan ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pasukan petugas ini juga bertanggungjawab untuk meneliti pembinaan jambatan yang menghubungkan tebing barat Sibu (Sibu West Bank) dengan pusat bandar (Sibu Town Centre).
Menurutnya, Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, mencadangkan agar kerajaan membina jambatan yang menghubungkan kawasan berkenaan.

“Saya bertanya kepada Kelvin, berapa anggaran kasar jarak jambatan itu? Beliau memaklumkan bahawa ia sepanjang 400 meter dan merentasi Sungai Igan.
“Sarawak sudah berjaya melaksanakan pembinaan tujuh kilometer Jambatan Batang Lupar, dan pembinaan jambatan sepanjang 400 meter ini tidak menjadi masalah,” katanya ketika berucap sempena sambutan Tahun Baharu Cina SUPP di sini, hari ini.
Abang Johari menganggap cadangan yang dikemukakan oleh Kelvin itu sebagai satu idea baharu yang perlu disokong.
“Kelvin ini mungkin mahu lawan Shanghai di China, di sana banyak jambatan. Jadi, perkara sebegini yang kita mahu. Ada idea baharu, cara berfikir baharu dan rakyat mesti sokong.
“Justeru, saya meminta Dr. Annuar dan Michael untuk mengetuai jawatankuasa pasukan petugas bagi memantau pembinaan jambatan ini,” tegasnya.
Kelvin mengemukakan cadangan itu, berhubung projek pembinaan jambatan untuk menghubungkan tebing barat Sibu ke pusat bandar, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan.
“Saya berharap agar cadangan ini dapat dipertimbangkan, supaya satu jambatan boleh dibina di kawasan berkenaan.
“Saya percaya pembinaan jambatan ini akan melonjakkan perkembangan bandar ini, khususnya di kawasan Bawang Assan,” jelasnya.


