BINTULU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Bintulu telah menggerakkan pasukan pemantauan secara menyeluruh melibatkan semua kawasan di Bintulu, termasuk kawasan bandar dan hulu, susulan trend kenaikan paras air yang direkodkan ketika ini.
Ketua JBPM Zon Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, satu pasukan khas telah ditugaskan bagi menjalankan pemantauan di lapangan, manakala pasukan penyelamat turut disiap siagakan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), khususnya di kawasan Sebauh.
Menurut beliau, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu turut menerima sokongan anggota dari BBP Kidurong sekiranya diperlukan sama ada bagi operasi menyelamat mahupun tugasan pemantauan.
“BBP Bintulu tidak akan dibiarkan kosong, dan anggota sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu, petang tadi.
Wan Kamarudin menjelaskan bahawa setakat ini, jumlah anggota adalah mencukupi dan situasi masih berada dalam keadaan terkawal.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan awal sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Sekiranya situasi berlarutan atau menjadi lebih serius, kita mungkin akan melaksanakan operasi selama 24 jam dan pembekuan cuti anggota.
“Namun, buat masa ini, anggota yang bercuti atau cuti rehat berada dalam keadaan ‘standby’ dan boleh dipanggil pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa trend paras air ketika ini menunjukkan peningkatan, khususnya di kawasan hulu berdasarkan pemantauan terkini di lapangan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk agar memberikan kerjasama dan berpindah ke pusat pemindahan sementara sekiranya kawasan penempatan mereka terjejas demi keselamatan bersama.


