KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggariskan latihan kesiapsiagaan, penggunaan teknologi dan data ramalan, penambahan aset serta pelibatan komuniti sebagai teras utama strategi menghadapi risiko bencana banjir dan kebakaran yang semakin tidak menentu.
Pengarahnya, Jamri Masran berkata pendekatan tersebut selari dengan moto JBPM Sarawak tahun ini, iaitu adaptasi kepada perubahan iklim, yang menekankan keperluan menyesuaikan operasi kecemasan dengan realiti perubahan semasa.
“Moto ini membawa maksud kami perlu lebih proaktif, bukan sekadar bertindak selepas bencana berlaku.
“Pendekatan ini penting kerana kita perlu bersedia lebih awal memandangkan impak perubahan iklim membawa bencana seperti banjir, kebakaran dan gelombang haba yang semakin sukar diramal,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurut beliau, strategi berkenaan turut memberi penekanan kepada pembinaan ketahanan jangka panjang.
“Ia bukan hanya soal operasi kecemasan, tetapi membina komuniti, infrastruktur dan ekosistem yang lebih kuat supaya mampu pulih dengan cepat selepas bencana.
“Perubahan iklim ini bersifat global, tetapi kesannya juga berlaku di peringkat tempatan. Oleh itu, pendekatan kita juga perlu berorientasikan tindakan, termasuk penggunaan teknologi pintar, data ramalan, infrastruktur mesra alam dan amalan lestari,” ujarnya.
Tegasnya, kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim memerlukan perubahan cara berfikir, perancangan dan pelaksanaan operasi.
“Menjelang 2026, keutamaan kita adalah memastikan JBPM Sarawak kekal tangkas, berdaya tahan dan bersedia menghadapi apa jua bentuk bencana yang semakin kompleks dan tidak menentu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan cabaran utama operasi pemadaman di kawasan pedalaman dan sukar diakses ialah kekangan bekalan air, faktor geografi serta masa perjalanan yang panjang ke lokasi kejadian.
“Kita tahu 10 hingga 20 minit pertama adalah tempoh paling kritikal dalam kebakaran. Apabila bekalan air lambat diperoleh, api berpeluang merebak dan menjadi lebih sukar dikawal.
“Dalam banyak kes, kawasan pedalaman langsung tidak mempunyai pili bomba. Sumber air pula biasanya sungai kecil, parit atau kolam semula jadi yang jaraknya jauh dari lokasi kebakaran.
“Disebabkan itu, anggota bomba sering terpaksa menarik hos sejauh ratusan meter, menggunakan pam mudah alih secara berperingkat serta mengangkut air dari sumber terbuka bagi memastikan pemadaman dapat dilakukan,” jelasnya.
Tambahnya, geografi Sarawak yang luas dengan jalan tanah yang licin ketika hujan, berdebu ketika kering, kawasan berbukit dan berhutan serta penempatan yang hanya boleh diakses melalui sungai turut melambatkan tindakan awal.
“Ada kes jentera tidak dapat sampai terus ke lokasi sehingga memaksa anggota berjalan kaki atau menggunakan bot. Apabila tiba, api sudah marak dan struktur kayu mudah runtuh.
“Kebakaran di kawasan pedalaman bukan soal kepakaran semata-mata, tetapi masa, air dan akses. Peralatan bandar tidak sentiasa sesuai, sebab itu kita memerlukan pam ringan bertekanan tinggi, hos mudah alih dan PPE yang sesuai dengan suhu panas serta medan mencabar,” katanya.
Mengulas statistik kebakaran sepanjang 2025, beliau memaklumkan JBPM Sarawak merekodkan 994 kes kebakaran terbuka dan 416 kes kebakaran struktur, dengan kebakaran belukar menjadi penyumbang tertinggi.
“Pedalaman dan tanah gambut dikenal pasti sebagai kawasan panas yang kerap berulang, khususnya semasa cuaca panas dan kering,” katanya.
Ujarnya, antara tekanan operasi sepanjang 2025 ialah peningkatan kebakaran hutan, belukar dan struktur ketika operasi banjir masih berjalan, sekali gus mewujudkan tekanan operasi berganda.
“Musim kering kini tidak lagi pendek dan terkawal. Ia berselang dengan hujan tidak menentu, menjadikan bahan bakar semula jadi sangat mudah terbakar.
“Sementara kebakaran struktur pula tidak boleh ditangguhkan walaupun bencana lain sedang berlaku,” katanya.
Dalam menghadapi situasi dwibencana, beliau menegaskan JBPM Sarawak beroperasi berdasarkan keutamaan keselamatan nyawa.
“Keputusan pertama ialah menilai risiko terhadap nyawa. Operasi menyelamat mangsa banjir diberi keutamaan segera, manakala kebakaran yang belum mengancam nyawa akan dipantau atau dikawal secara minimum sehingga bantuan tambahan tiba.
“Justeru, fleksibiliti kini amat penting kerana perancangan statik tidak lagi sesuai. Dengan kerjasama PDRM, APM, RELA dan agensi lain, kita dapat menumpukan kepakaran teras JBPM, iaitu penyelamatan dan pemadaman,” ujarnya.


