PUCHONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh kesiapsiagaan operasi dengan menambah aset dan logistik bagi menghadapi jangkaan fenomena Super El Nino pada penghujung tahun ini.
Menurut Bernama, sebanyak 200 Kenderaan Operasi Ringan akan diterima secara berperingkat mulai bulan ini. JBPM turut meningkatkan penggunaan 26 dron bagi memantau kawasan berisiko kebakaran serta mengurangkan kebergantungan kepada aset udara.
Dua helikopter baharu pula dijangka diterima antara November hingga Januari bagi memperkukuh operasi pemantauan dan pemadaman kebakaran. JBPM turut menilai penggunaan dron jarak jauh untuk peninjauan awal kebakaran berskala besar.
Selain itu, JBPM mengenal pasti 183 lokasi titik panas yang memerlukan pemantauan rapi. Penyelarasan logistik bersama agensi lain turut dilakukan bagi memastikan tindakan pantas ketika kecemasan.
Langkah itu dibuat susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa suhu di beberapa kawasan berpotensi mencecah 39 hingga 40 darjah Celsius sekiranya fenomena Super El Nino berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang.



