BINTULU: Jejambat Jalan Medan Jaya yang menghubungkan Jalan Tun Hussein Onn disasar siap pada Julai 2027.
Projek pembinaan jejambat Jalan Medan Jaya yang menghubungkan Jalan Tun Hussein Onn di sini kini disasarkan siap sepenuhnya pada Julai 2027 selepas berdepan kelewatan akibat beberapa isu di tapak pembinaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihak kontraktor memberi jaminan projek itu dapat disiapkan mengikut sasaran baharu selepas isu yang menjejaskan pelaksanaannya sebelum ini dikenal pasti dan diselesaikan.

Beliau berkata, antara punca kelewatan ialah isu utiliti di tapak projek yang memerlukan lanjutan masa (EOT) diberikan kepada kontraktor.
“Selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan respons daripada pihak kontraktor, bolehlah saya katakan kita terima cadangan mereka untuk menyiapkan projek ini pada Julai tahun depan,” katanya.
“Bagaimanapun, kalau boleh kita minta disiapkan lebih awal, itu lebih baik, sebelum Gawai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jejambat Jalan Medan Jaya yang menghubungkan Jalan Tun Hussein Onn di sini, hari ini.

Menurut Alexander, isu berkaitan jalan keluar masuk utama ke kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu yang sebelum ini dikenal pasti sebagai antara perkara yang perlu diselesaikan, kini mempunyai penyelesaian.
Beliau berkata, penyelesaian isu itu penting bagi memastikan kerja pembinaan dapat diteruskan dengan lebih lancar sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya.
“Isu jalan keluar masuk utama ke kawasan IPD itu sudah dikenal pasti sebelum ini, tetapi sekarang sudah ada penyelesaian,” katanya.

“Sebab itu kontraktor meyakinkan kita bahawa projek ini boleh disiapkan pada Julai 2027,” ujarnya.
Mengulas tindakan yang boleh dikenakan sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, Alexander berkata kontraktor tertakluk kepada syarat dan terma kontrak, termasuk bayaran Liquidated and Ascertained Damages (LAD) sekiranya gagal memperoleh lanjutan masa (EOT).
“Dalam kontrak, kalau dia tidak mendapat EOT, dia kena bayar LAD atau penalti,” katanya.


