Debaran untuk pulang meraikan Ramadan dan Aidilfitri bersama-sama keluarga di tanah air bertukar menjadi penantian yang tidak pasti buat ribuan jemaah umrah Malaysia apabila penerbangan mereka ditangguhkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran baru-baru ini menyebabkan beberapa ruang udara di rantau berkenaan ditutup, sekali gus mengganggu jadual penerbangan antarabangsa. Antara negara yang terkesan termasuklah Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.
Dalam kelompok itu, seramai 283 jemaah bagi satu rombongan yang berlepas pada 18 Februari lalu masih menunggu tarikh baharu untuk pulang ke Malaysia. Daripada jumlah itu, 16 orang ialah rakyat Sarawak.
Bagi Tairini Abin, 60, anak jati Matu, Mukah, penangguhan itu bukan sesuatu yang mudah, namun beliau memilih untuk melihatnya dengan hati yang tenang.

“Kami sepatutnya balik ke Malaysia pada 1 Mac lalu dan dianggarkan tiba di Kuala Lumpur pada 2 Mac 2026. Namun pada masa ini jemaah umrah terkandas dan hanya menunggu info daripada agensi kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia),” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau yang berangkat menunaikan umrah bersama-sama empat rakan sekampung memulakan ibadah tersebut pada 1 Ramadan lalu.
Bagi Tairini, perjalanan ke Tanah Suci bukanlah pengalaman pertama kerana beliau telah beberapa kali menunaikan umrah. Namun, bagi sebahagian rakannya, inilah detik sulung menjejakkan kaki ke bumi penuh barakah itu.
“Alhamdulillah, setakat ini kami semua berada dalam keadaan baik. Bekalan ubat mencukupi, kami masih menginap di hotel yang sama dan makanan seperti biasa. Semuanya diuruskan dengan baik oleh agensi Andalusia,” ujarnya.
Menurutnya, tiada sebarang kesukaran besar yang dihadapi setakat ini kerana kebajikan jemaah sentiasa dipantau dan dijaga rapi.
Malah, katanya keadaan di Kota Suci Mekah dan Madinah juga dilaporkan aman serta terkawal.
“Saya ingin memaklumkan kepada adik-beradik di Sarawak supaya tidak bimbang. Kami di sini dalam keadaan baik.
“Tempat tinggal dan makan minum semuanya diuruskan agensi, tiada sebarang masalah,” katanya lagi.
Sebagai individu yang masih aktif menguruskan perniagaan sendiri, Tairini mengakui tetap menyimpan sedikit kebimbangan.
“Memang terdapat kerja yang perlu disiapkan selepas Aidilfitri nanti. Sepatutnya sekarang sudah mula buat persiapan awal, tapi waktu ini hanya mampu menunggu penerbangan.
“Kalau tiada penerbangan, tidak dapatlah balik,” katanya lagi.
“Minta doa orang ramai supaya urusan kami dipermudahkan,” tambahnya.

