ARTIKEL

PERHIMPUNAN…Sekitar Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, pagi tadi.

Jenayah Komersial Meningkat 41.79 Peratus Di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jenayah komersial di Sarawak menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 2,134 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini, meningkat 629 kes atau 41.79 peratus berbanding 1,505 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pada masa sama, jumlah kerugian mangsa turut meningkat kepada RM71.1 juta berbanding RM56 juta pada tahun lalu.

“Peningkatan itu mencerminkan trend semasa jenayah komersial, khususnya jenayah siber yang melibatkan pelbagai platform digital, yang semakin berleluasa dan menjadi antara cabaran utama kepada pihak penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, pagi tadi.

Menurut Mohamad Zainal, peningkatan tersebut didorong pelbagai bentuk penipuan dalam talian seperti penipuan e-dagang, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan palsu serta penipuan telekomunikasi atau phone scam.

Katanya, sindiket menggunakan pelbagai taktik untuk memperdaya mangsa, termasuk memanipulasi emosi, menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat serta menyamar sebagai pihak berkuasa atau syarikat yang sah.

“Peningkatan kerugian daripada RM56 juta kepada RM71.1 juta, iaitu sebanyak RM15.1 juta atau 26.96 peratus, membuktikan bahawa jenayah komersial bukan sahaja melibatkan pertambahan jumlah kes, malah memberi kesan kewangan yang besar kepada mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, penipuan e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 443 kes membabitkan kerugian sebanyak RM8.1 juta.

Katanya, penipuan pinjaman tidak wujud pula merekodkan 352 kes dengan kerugian RM2.3 juta.

“Walaupun hanya mencatatkan 271 kes, penipuan pelaburan merekodkan nilai kerugian paling tinggi, iaitu RM32.2 juta, menunjukkan nilai kerugian bagi setiap kes adalah jauh lebih tinggi.

“Penipuan dalam talian merekodkan 132 kes dengan kerugian RM8 juta, manakala penipuan tawaran pekerjaan mencatatkan 137 kes melibatkan kerugian RM1.9 juta,” katanya.

Dalam usaha membendung jenayah komersial, khususnya jenayah siber, Mohamad Zainal berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak mempergiat tindakan penguatkuasaan sehingga berjaya menahan 958 suspek sepanjang tempoh berkenaan dan kesemua mereka didakwa di mahkamah.

Katanya, antara kejayaan utama JSJK Sarawak ialah membongkar kegiatan sindiket penipuan dalam talian menerusi penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 41 tahun yang menyasarkan mangsa di Singapura dan Australia.

Menurut beliau, sindiket terbabit menggunakan profil media sosial palsu untuk memikat mangsa sebelum menawarkan pekerjaan ‘dropshipper’ yang tidak wujud, seterusnya memperdaya mangsa supaya membuat pembayaran.

“Hasil siasatan dan rampasan membawa kepada pertuduhan terhadap dua suspek di Mahkamah Majistret Kuching.

“Kes ini membuktikan sindiket penipuan kini semakin canggih, beroperasi merentasi sempadan serta memanfaatkan teknologi dan taktik psikologi untuk memperdaya mangsa.

“Usaha penguatkuasaan, kesedaran awam dan kerjasama antarabangsa perlu terus diperkukuh bagi mengekang jenayah ini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU