KUCHING: Sebanyak 27 sekolah di daerah Tebedu ditutup sementara esok berikutan jerebu, susulan pemantauan kualiti udara dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) setakat 2 petang hari ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan penutupan pada 26 Oktober itu membabitkan sebuah sekolah menengah dan 26 sekolah rendah di bawah seliaannya.
“Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan.
“Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) juga dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
JPN Sarawak memaklumkan keputusan sama turut terpakai kepada semua sekolah rendah dan menengah di daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 selepas kenyataan itu dikeluarkan.
Bagaimanapun, jelasnya, sesi persekolahan secara bersemuka akan diteruskan bagi calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan pemakaian pelitup muka diwajibkan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Bagi sekolah berhampiran daerah yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid,” jelasnya.
Menurut JPN Sarawak, persediaan untuk membuka semula sekolah boleh dilakukan sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada paras di bawah 200.
Dalam pada itu, kenyataan itu menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah seliaan jabatan berkenaan diingatkan supaya mematuhi garis panduan berkaitan aktiviti luar ketika cuaca panas serta memantau perkembangan semasa kualiti udara di kawasan masing-masing.
“Pemantauan boleh dilakukan menerusi Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi melindungi kesihatan murid dan warga sekolah.
“Ibu bapa dan penjaga juga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan mereka, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah,” ujarnya.
Justeru, JPN Sarawak menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga institusi pendidikan sentiasa menjadi keutamaan.



