ARTIKEL

Lee merakam kenangan bersama penerima Insentif Kecemerlangan Akademik Anak Ahli dan Hadiah Pertandingan Akademik Persatuan Lee Miri 2026, hari ini.

Sekolah antarabangsa Yayasan Sarawak dirancang di Miri, Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Rancangan penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Miri bakal membuka lebih banyak pilihan pendidikan kepada pelajar tempatan untuk mengikuti kurikulum antarabangsa tanpa perlu meninggalkan bandar raya ini.

Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, peluasan institusi pendidikan berkenaan antara usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan mutu pendidikan dan menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran kepada generasi muda.

Lee menyampaikan Insentif Kecemerlangan Akademik Anak Ahli dan Hadiah Pertandingan Akademik Persatuan Lee Miri 2026 kepada salah seorang penerima, hari ini.

“Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk menubuhkan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Miri dan Bintulu bagi memberi lebih banyak pilihan pendidikan kepada pelajar.

“Ini bermakna pada masa depan, pelajar di Miri berpeluang mengikuti kurikulum antarabangsa di tempat sendiri tanpa perlu berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik Anak Ahli dan Hadiah Pertandingan Akademik Persatuan Lee Miri 2026, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pembangunan sekolah antarabangsa itu turut melengkapi usaha kerajaan memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menyediakan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.

“Pembangunan Sarawak dalam sektor kejuruteraan, penerbangan, tenaga, perubatan dan teknologi digital memerlukan lebih ramai golongan muda yang mempunyai pengetahuan sains, kemahiran teknologi serta pemikiran inovatif.

“Kita mahu membina sistem pendidikan yang lebih lengkap dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi supaya pelajar mempunyai peluang mengembangkan potensi berdasarkan minat dan kebolehan masing-masing,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) mulai 2026 turut memberi peluang kepada pelajar yang memenuhi syarat untuk mengikuti program pengajian terpilih di institusi pendidikan tinggi milik Kerajaan Sarawak tanpa menanggung yuran pengajian.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi membantu pelajar daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan supaya tidak terpaksa melepaskan peluang melanjutkan pendidikan ke universiti.

“Dahulu, ada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang tetapi bimbang untuk melanjutkan pengajian kerana masalah kewangan keluarga.

“Melalui pelbagai bantuan pendidikan ini, kita berharap lebih ramai anak Sarawak dapat meneruskan pengajian dan memberi tumpuan kepada pembelajaran tanpa terlalu dibebani kos,” jelasnya.

Mengulas penganjuran majlis itu, beliau memuji Persatuan Lee Miri yang terus memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang menerusi insentif pendidikan dan pertandingan akademik sejak penubuhannya.

Beliau yang pernah terlibat sebagai penasihat jawatankuasa penaja persatuan itu pada 1997 berkata, perkembangan persatuan yang didaftarkan secara rasmi pada 2001 membuktikan kepentingan kerjasama masyarakat dalam memperkukuh pendidikan dan kebajikan generasi muda.

BERITA LAIN

Marchelin Maria juara Ratu Bilanting Serian

SERIAN: Marchelin Maria Martin dari Kampung Tematu, Kuching muncul juara Pertandingan Ratu Bilanting sempena Serian Rafting Challenge Edisi Ke-13 2026, sekali gus membawa pulang hadiah

BERITA TERBARU

Marchelin Maria juara Ratu Bilanting Serian

SERIAN: Marchelin Maria Martin dari Kampung Tematu, Kuching muncul juara Pertandingan Ratu Bilanting sempena Serian Rafting Challenge Edisi Ke-13 2026, sekali gus membawa pulang hadiah