ARTIKEL

Jerebu dan penyakit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARAWAK bukan sekadar berdepan tiga ancaman bencana serentak, jerebu rentas sempadan, kemarau dan ribut, malah turut menghadapi lonjakan 124 peratus kes jangkitan saluran pernafasan atas (URT).

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat 3,674 kes terkini, berbanding 1,637 sebelum ini, akibat jerebu.

Berikutan itu, tujuh langkah disarankan, sebagai pencegahan utama untuk mengurangkan risiko kesihatan kerana pendedahan terhadap kualiti udara yang tidak sihat.

Antaranya orang ramai hendaklah mengurangkan aktiviti di luar, terutama ketika bacaan kualiti udara pada tahap tidak sihat.

Pastikan tubuh kekal terhidrat dengan meminum air kosong secukupnya, sekurangkurangnya lapan gelas sehari, selain mengehadkan keberadaan dan aktiviti fizikal di luar rumah atau kawasan terbuka.

Guna pelitup muka jenis N95 atau P100 amat digalakkan bagi mengurangkan pendedahan kepada partikel tercemar.

Ia mampu menapis hampir 95 peratus partikel daripada udara jerebu serta direka bentuk untuk melekap kemas bagi menghalang udara tercemar memasuki salur pernafasan.

Sebaliknya pelitup muka biasa tiga lapis hanya menapis kira-kira 12 peratus partikel halus jerebu dan tidak melekap kemas pada muka, sekali gus membolehkan udara tercemar mudah memasuki saluran pernafasan.

Segera bersihkan tangan dan muka menggunakan sabun serta air bersih selepas selesai melakukan urusan di luar.

Pastikan kualiti udara dalaman berada pada tahap baik dengan menjaga kebersihan persekitaran rumah serta menggunakan pendingin hawa dan penapis udara.

Elak sumber pencemaran tambahan di dalam kediaman, khususnya amalan merokok yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru.

Ketika memandu, gunakan pendingin hawa dan pastikan fungsi kitaran udara dalaman diaktifkan bagi menghalang udara dari luar memasuki ruang kenderaan.

Golongan berisiko termasuk kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas dinasihatkan supaya mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar.

Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti batuk berterusan, tekak perit, mata pedih atau sesak nafas.

Semalam jerebu turut menyelubungi Negeri di Bawah Bayu (Sabah), serta Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ia dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Yang pasti, Kuching dan Serian masih pada tahap berbahaya, dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 312 dan 329.

Sabtu lalu IPU Serian dan Kuching memcecah lebih 400.

Empat kawasan lain, Samarahan, Sarikei, Sri Aman dan Sibu pula merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat semalam, masing-masing dengan IPU 287, 257, 253 dan 243.

Secara keseluruhan, 44 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, 18 kawasan tidak sihat, empat kawasan sangat tidak sihat dan dua kawasan pada tahap berbahaya.

Menyingkap sejarah jerebu dunia lebih tujuh dekad yang lampau, ia bermula daripada gabungan faktor pencemaran tempatan, pembakaran terbuka, dan keadaan cuaca yang memerangkap zarah berbahaya di udara.

Dikenali sebagai jerebu dan asap beracun, “The Heat Smog of London”, merupakan bencana paling tragis di benua Eropah. Berlaku pada Disember 1952, akibat pembakaran arang batu untuk industri.

Sistem cuaca tekanan tinggi memeranglap asap dan sulfur dioksida dekat permukaan tanah, yang mengorbankan 12,000 jiwa.

Di Malaysia pula jerebu bermula sekitar 1960, susulan pembakaran terbuka dan pelepasan industri. Gangguan jerebu skala besar berlaku pada April 1983, yang turut dikaitkan dengan kesan El Nino dan kebakaran hutan.

Bagi Sarawak pula, 1997 merupakan tahun terburuk jerebu yang mencecah IPU sekitar 650-839, sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri mengisytiharkan darurat pada 19 September.

Ketika itu, semua sekolah, pejabat kerajaan dan swasta ditutup selama 10 hari, kecuali agensi tertentu seperti bomba. Jerebu turut menyelubungi Sarawak pada 2006, 2014, 2016, 2019, 2023 dan 2025.

Yang pasti, jerebu di Bumi Kenyalang berpunca daripada “cerita lama”, pencemaran asap rentas sempadan akibat pembakaran terbuka dan kebakaran hutan di Kalimantan.

Kepulan asap dari titik panas dan kebakaran tanah dan hutan di Kalimantan dibawa tiupan angin ke negeri ini.

Realitinya menjaga alam sekitar adalah amanah penting dan kewajipan bagi setiap manusia, khususnya pemimpin.

Dalam surah Al-A’raf; “Dan janganlah kamu berbuat keroskan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.”

Hakikatnya penjagaan alam sekitar, yang merangkumi udara, air dan tanah adalah tanggungjawab semua, dalam memulihara alam sejagat, untuk kita kongsikan dengan generasi akan datang.  

BERITA LAIN

BERITA TERBARU