MARUDI: Keadaan cuaca berjerebu menghalang usaha menggerakkan bantuan udara bagi mencari dan menyelamat (SAR) lima individu yang dipercayai berada dalam helikopter terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, petang tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, pasukan SAR kini berdepan cabaran untuk tiba di lokasi kejadian berikutan kawasan berkenaan agak terpencil manakala perjalanan darat dari Marudi mengambil masa kira-kira 10 jam.
Menurutnya, penggunaan helikopter bagi membawa pasukan penyelamat juga tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari Pangkalan Udara PDRM Kuching.
“Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu penduduk kampung, anggota RELA dan polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.
“Status berhubung semua penumpang termasuk juruterbang masih dalam siasatan manakala pasukan SAR akan ke lokasi yang mengambil masa selama 10 jam menggunakan jalan darat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi,” katanya.
Katanya, helikopter terbabit memberikan perkhidmatan doktor udara di tiga lokasi dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, Marudi.
Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.

