KUCHING: Ibu bapa yang bimbang peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang menjejaskan kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberikan susulan kebimbangan ibu bapa terhadap keadaan kualiti udara susulan jerebu rentas sempadan yang melanda negara ketika ini.
“Saya faham dan kami dengar mengenai kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini.
“Jika bimbang akan kesihatan anak, ibu bapa dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan pihak sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau bacaan IPU khususnya di kawasan terjejas.
“Justeru, kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” ujarnya.
Jelasnya, sebarang tindakan berkaitan pengoperasian sekolah ketika ini dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjadi rujukan rasmi.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) semalam, sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan tidak sihat, manakala 24 kawasan berada pada tahap sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.


