BAHAYA jerebu tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai masalah jarak penglihatan atau langit yang bertukar kelabu.
Semalam, sebanyak 591 sekolah membabitkan 197,323 murid di lima bahagian di Sarawak ditutup sementara berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.
Penutupan itu melibatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong. Angka itu cukup untuk menggambarkan betapa seriusnya episod jerebu yang sedang melanda Sarawak.
Lebih membimbangkan, keadaan ini bukan semata-mata berpunca daripada pencemaran udara setempat.
Sarawak kini turut menerima kesan jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia, apabila asap dari kawasan terbakar dibawa angin ke wilayah ini.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan dilaporkan bergerak ke arah utara dan memasuki Sarawak, manakala peningkatan titik panas di Kalimantan Barat turut dikesan.
Malah, data yang dilaporkan pada 20 Ogos menunjukkan sebanyak 7,286 titik panas dikesan di Kalimantan bagi tempoh tertentu pada Ogos, berbanding 148 di Sarawak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap ancaman jerebu rentas sempadan.
Hakikatnya, Sarawak berada begitu hampir dengan Kalimantan sehingga perubahan keadaan cuaca dan arah angin di wilayah jiran boleh memberi kesan secara langsung kepada kualiti udara di negeri ini.
Ketika musim panas dan kering, risiko itu menjadi lebih besar.
Ancaman sebenar jerebu bukan sekadar pemandangan kabur, bau asap atau mata yang pedih. Ia adalah apa-apa yang tidak kelihatan dengan mata kasar — zarah halus PM2.5 yang terapung di udara.
Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr. Helmy Hazmi berkata, zarah pencemar berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil berupaya memasuki sistem pernafasan manusia sehingga ke ruang udara paling kecil di dalam paru-paru.
Pendedahan kepada zarah halus ini boleh menyebabkan pelbagai gejala, termasuk batuk, sesak nafas, iritasi saluran pernafasan dan gangguan pernafasan.
Bagi penghidap asma, pencemaran udara boleh mencetuskan serangan asma, manakala individu yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru pula berdepan risiko komplikasi yang lebih serius.
Ketika IPU berada pada kategori tidak sihat, kepekatan bahan pencemar dalam udara adalah cukup tinggi untuk memberi kesan kepada kesihatan, khususnya kepada golongan yang sensitif.
Kesan jangka pendek boleh bermula dengan gejala yang kelihatan ringan.
Mata boleh menjadi pedih, merah dan berair.
Hidung dan tekak pula mungkin mengalami iritasi, hidung berair atau tersumbat, kerap bersin serta sakit tekak. Bagi sistem pernafasan, seseorang mungkin mengalami batuk, sesak nafas, dada terasa ketat dan serangan asma.
Dalam keadaan tertentu, individu yang mempunyai penyakit jantung turut berdepan peningkatan risiko komplikasi, termasuk masalah kardiovaskular apabila terdedah kepada pencemaran udara pada tahap tinggi.
Kulit juga boleh mengalami iritasi atau kegatalan akibat pendedahan berterusan kepada jerebu.
Penutupan 591 sekolah bukan sekadar angka dalam laporan.
Di sebaliknya terdapat hampir 200,000 murid yang terpaksa menghentikan sementara rutin persekolahan mereka. Ini menunjukkan jerebu mempunyai kesan yang jauh lebih luas daripada sektor kesihatan.
Ia mengganggu pendidikan, aktiviti ekonomi, pergerakan harian, kegiatan luar serta kehidupan masyarakat secara keseluruhan.
Apabila sekolah ditutup, ibu bapa yang bekerja turut terpaksa membuat penyesuaian terhadap penjagaan anak.
Aktiviti luar sekolah, sukan, program komuniti dan pelbagai kegiatan sosial turut terjejas.
Dalam jangka panjang, jika episod jerebu berlarutan, kesannya boleh menjadi lebih besar terhadap produktiviti masyarakat.
Justeru, keputusan menutup sekolah tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan berlebihan.
Sebaliknya, ia adalah langkah pencegahan bagi melindungi kanakkanak yang merupakan antara kumpulan paling mudah terdedah kepada kesan pencemaran udara.
Lebih mengecewakan ialah sebahagian daripada jerebu yang kini menjejaskan Sarawak datang dari luar sempadan.
Laporan NADMA sebelum ini menunjukkan beberapa kawasan Sarawak mencatat IPU tidak sihat dan keadaan itu dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan, dengan angin membawa asap daripada titik panas di kawasan jiran ke negeri ini.
Pada 14 Ogos lalu, tujuh kawasan di Sarawak mencatat bacaan IPU tidak sihat, dengan Serian merekodkan 183, diikuti Kuching dan Samarahan masingmasing 171.
Perkembangan itu menunjukkan esan kebakaran di negara jiran bukan isu yang berhenti di sempadan. Asap tidak mengenal sempadan pentadbiran.
Ia bergerak mengikut angin, merentasi sungai, daerah dan sempadan antarabangsa sebelum akhirnya memasuki ruang pernafasan manusia.
Sarawak boleh memperketat penguatkuasaan pembakaran terbuka, memantau titik panas dan mengambil tindakan terhadap kebakaran tempatan.
Namun, selagi kebakaran besar di Kalimantan berterusan dan keadaan angin membawa asap ke arah Sarawak, negeri ini tetap terdedah kepada ancaman yang berada di luar kawalannya.
Atas sebab itu, isu jerebu rentas sempadan wajar dilihat sebagai isu alam sekitar dan kesihatan serantau, bukannya sekadar masalah bermusim.
Masyarakat tidak seharusnya mengambil ringan keadaan ini atau menganggap jerebu sebagai fenomena biasa yang akan hilang dengan sendirinya. Nasihat pihak berkuasa perlu dipatuhi.
Kurangkan aktiviti luar ketika kualiti udara tidak sihat, khususnya aktiviti yang memerlukan tenaga fizikal tinggi.
Golongan berisiko seperti kanakkanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru perlu diberikan perhatian lebih.
Jika perlu berada di luar, langkah perlindungan yang sesuai hendaklah diambil.
Pada masa sama, masyarakat perlu mengelakkan sebarang bentuk pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Kerana dalam situasi jerebu rentas sempadan, setiap kebakaran, walaupun kecil berpotensi menambah beban pencemaran udara yang sedang ditanggung bersama.
Kebanyakan gejala ringan akibat pendedahan kepada udara tercemar mungkin berkurangan apabila seseorang mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Namun, jangan menunggu sehingga keadaan menjadi serius.
Jika berlaku sesak nafas yang teruk, sakit atau ketat di dada, serangan asma yang tidak terkawal atau gejala yang semakin memburuk, rawatan perubatan perlu diperoleh dengan segera.
Jerebu mungkin datang dari luar sempadan, tetapi kesannya dirasai di dalam rumah, sekolah, tempat kerja dan paru-paru rakyat Sarawak.
Dan apabila hampir 200,000 murid terpaksa berhenti belajar sementara akibat kualiti udara yang tidak sihat, mesejnya sudah cukup jelas. Jerebu bukan lagi sekadar langit kelabu. Ia adalah krisis kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat yang perlu ditangani secara bersama dari Sarawak hingga ke peringkat serantau.


