ARTIKEL

Profesor Dr Firdaus Abdullah

Jerebu: Minggu Destini Siswa UiTM dilaksana secara hibrid

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Minggu Destini Siswa (MDS) bagi pelajar baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan dilaksanakan secara hibrid bagi sesi kemasukan September ini membabitkan 34 kampus di seluruh Malaysia susulan keadaan jerebu ketika ini.

Rektor UiTM Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah berkata, semua modul MDS akan diikuti dan dinilai secara dalam talian, sekali gus membolehkan program orientasi pelajar baharu berjalan mengikut jadual tanpa memerlukan aktiviti luar.

Menurutnya, kaedah itu bukan perkara baharu bagi UiTM kerana MDS telah dilaksanakan secara hibrid sejak pasca-COVID-19 dengan menggunakan platform Google Meet, UFuture dan YouTube UiTM Channel selain kaedah fizikal.

“Setiap pelajar baharu diwajibkan mengikuti semua modul MDS dalam talian yang ditetapkan dan boleh menyelesaikannya pada bila-bila masa sepanjang tempoh 20 hingga 27 September 2026,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, sesi MDS dalam talian bermula 20 September, diikuti pendaftaran kolej kediaman secara fizikal pada 23 September, manakala kuliah semester baharu secara hibrid bermula 28 September.

Katanya, UiTM tidak menggalakkan aktiviti luar dalam kalangan pelajar.

“Sekiranya terdapat aktiviti luar, ia akan diubah suai dan dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

Firdaus berkata, pendekatan pembelajaran hibrid turut diteruskan bagi semester yang bermula September ini menerusi kaedah blended learning.

Katanya, kuliah sejak Mac lalu telah dilaksanakan secara hibrid menerusi kaedah dalam talian dan fizikal bergantung kepada keperluan badan profesional serta badan akreditasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polisi Hari Bekerja Hibrid (HBH) bagi warga kerja UiTM turut berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026 sebagai norma kerja baharu dalam perkhidmatan awam selaras dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam.

“HBH menggabungkan tiga hari bekerja di pejabat, iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala Selasa dan Khamis merupakan hari bekerja dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Firdaus berkata, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar akan terus diberi keutamaan sekiranya keadaan jerebu berlarutan.

Menurutnya, Unit Kesihatan UiTM Sarawak bersedia membantu pelajar baharu yang telah mendaftar di kolej kediaman serta mereka yang mengikuti MDS secara dalam talian di tiga kampus UiTM Sarawak.

“Semua warga UiTM Sarawak, termasuk staf dan pelajar, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengutamakan berada di dalam bangunan.

Sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, terdapat kemungkinan institusi ditutup,” katanya.

Beliau turut menasihatkan warga universiti memakai pelitup muka N95, KN95 atau KF94 sekiranya perlu berada di luar, selain menutup tingkap dan menggunakan penghawa dingin dalam mod recirculate.

Katanya, warga universiti juga disarankan minum air secukupnya, iaitu enam hingga lapan gelas sehari, serta membasuh muka dan tangan selepas berada di luar.

“Bagi pelajar berisiko tinggi, termasuk mereka yang mempunyai asma, mereka perlu kekal berada di dalam bangunan sekiranya IPU melebihi 100 dan memastikan ubat seperti inhaler sentiasa tersedia,” katanya.

Firdaus turut menasihatkan warga UiTM Sarawak memantau bacaan IPU melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara.

BERITA LAIN

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian

BERITA TERBARU

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian