ARTIKEL

Jerebu Rentas Sempadan Ancam Barat Sarawak, Titik Panas Meningkat di Kalimantan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Beberapa kawasan di barat Sarawak diramal terjejas akibat jerebu rentas sempadan dalam masa terdekat apabila data satelit menunjukkan lonjakan titik panas di seberang sempadan, khususnya di Kalimantan.

Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datuk Jack Liam berkata, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memantau jumlah dan lokasi titik panas melalui laman sesawang Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang berpangkalan di Singapura.

“Selain itu, ramalan pergerakan jerebu rentas sempadan yang dijalankan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menggunakan Model HYSPLIT membolehkan kita menjangkakan trajektori pergerakan asap jerebu untuk tempoh 72 jam akan datang.

“Berdasarkan analisis terkini pada 21 Julai 2025, trajektori asap jerebu dari negara jiran dijangka memberi kesan sederhana kepada beberapa kawasan di barat Sarawak dalam tempoh ramalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jack menambah, berdasarkan data yang diperoleh dari Stesen Pemantauan Kualiti Udara NREB di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan setakat jam 8 pagi tadi, beberapa kawasan dikenal pasti berisiko tinggi mengalami peningkatan IPU dalam masa terdekat.

Kawasan Lundu katanya mencatatkan bacaan IPU 125 iaitu dalam kategori tidak sihat manakala Tebedu mencatatkan bacaan IPU 69 iaitu kategori sederhana.

“Kedua-dua kawasan ini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi kerana kebanyakan titik panas yang dikesan di negara jiran berada berhampiran dengan kawasan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, langkah rondaan berkala terutamanya di kawasan tanah gambut yang kerap mengalami kebakaran serta pelaksanaan larangan pembakaran terbuka didapati berkesan dalam menangani punca pencemaran.

Kejayaan ini boleh dilihat melalui perbezaan ketara dalam bilangan titik panas yang dikesan susulan hanya 62 titik panas dikesan di Sarawak berbanding 448 titik panas di negara jiran dalam tempoh 18 hingga 24 Julai 2025 (7 hari), katanya.

Menurut Jack, NREB juga sedang menjalin komunikasi dengan pihak berkuasa di Indonesia susulan peningkatan titik panas di Kalimantan.

Melalui Persidangan Sosek-Malindo Ke-37 Peringkat Negeri Sarawak–Provinsi Kalimantan Barat yang diadakan pada 21 hingga 25 November 2024, Kerajaan Sarawak dan Kalimantan Barat bersepakat bekerjasama dalam menangani kebakaran hutan dan jerebu.

“Pihak NREB turut mengalu-alukan penglibatan mereka untuk mengadakan rondaan bersama dan latihan teknikal bagi menjayakan kerjasama jangka panjang ini,” katanya.

Mengenai pelan tindakan kecemasan jika berlaku kemerosotan mendadak kualiti udara, beliau berkata NREB bersama agensi berkaitan akan menyalurkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui pelbagai saluran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU