KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak terus memburuk apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian mencecah 518, sekali gus berada pada tahap sangat berbahaya setakat 10 pagi hari ini.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, empat kawasan lain turut merekodkan bacaan pada tahap berbahaya iaitu Lubok Antu (398), Tebedu (345), Lundu (323) dan Kuching (310).
Sementara itu, tiga kawasan mencatatkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan (281), Sri Aman (245) dan Kanowit (202).
Sebanyak lapan lagi kawasan merekodkan tahap tidak sihat iaitu Sarikei (181), Betong (189), Sibu (177), Mukah (172), Bintulu (157), Samalaju (152), Lawas (146) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (116).
Bagaimanapun, empat kawasan masih mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Kapit (90), Miri (91), Limbang (94) dan Bario (73).
Untuk rekod pada Isnin, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kawasan dengan bacaan IPU mencecah 500 akan diisytiharkan darurat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau berkata bagaimanapun pengisytiharan itu hanya melibatkan lokaliti terjejas dan bukan seluruh Sarawak.
Mengikut petunjuk NREB, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, 301 hingga 400 berbahaya, 401 hingga 500 sangat berbahaya dan melebihi 500 sangat berbahaya.
NREB turut menjelaskan bahawa bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter yang paling dominan.


