KUCHING: Perjalanan dari Kuching ke Serian kini memerlukan pemandu lebih berwaspada apabila jerebu tebal mengehadkan jarak penglihatan sehingga kira-kira 300 meter.
Tinjauan Suara Sarawak menyaksikan jerebu tebal yang berlaku menyebabkan kebanyakan penduduk mengurangkan aktiviti luar, manakala peniaga dan pengguna jalan raya terpaksa berdepan ketidakselesaan akibat udara tercemar.
Peniaga kuih kering, Ahmad Afiza Dol, 39, yang sering berulang-alik dari Debak ke Kuching berkata, keadaan jerebu sepanjang perjalanan dari Kuching ke Serian semakin teruk, terutama apabila memasuki kawasan Siburan dan Serian.

“Keadaan jerebu dari Kuching hingga Serian memang teruk, tetapi kalau dah masuk Sri Aman, keadaannya tidak begitu teruk walaupun masih terdapat jerebu.
“Pemandu juga perlu lebih berhati-hati ketika melalui lebuh raya kerana kenderaan bergerak laju dan ada kemungkinan kenderaan muncul secara tiba-tiba dari hadapan atau belakang,” ujarnya.

Ujarnya yang sering ke Kuching seminggu sekali memaklumkan bahawa keadaan di dalam kereta juga boleh rasa sesak nafas.
Sementara itu, seorang lagi pengguna jalan raya, Nickson Lunca, 73, berkata keadaan jerebu mula dirasai dengan lebih ketara ketika memasuki Serian selepas perjalanan dari Betong ke Sri Aman yang masih agak baik.
“Saya dari Betong mahu ke Kuching kerana ada majlis perkahwinan. Masa memandu dari Betong ke Sri Aman masih boleh lihat walaupun ada jerebu sedikit, tetapi apabila masuk Serian memang nampak beza.
“Jarak penglihatan juga terbatas. Nampak maksimum dalam 300 meter saja. Jadi memang kena lebih peka ketika memandu. Takut juga kalau tiba-tiba nampak kereta keluar atau apa-apa.
Beliau memaklumkan memandu dalam keadaan jerebu ada sesuatu yang memenatkan kerana perlu lebih peka dan pada masa sama rasa kurang selesa bernafas.
Bagi Johari Ahmad, 58, yang tinggal berdekatan memaklumkan keadaan jerebu yang semakin teruk sejak dua minggu lalu turut menjejaskan aktiviti harian, termasuk kerja di kebun dan urusan ke pasar.

Beliau yang berasal dari Johor sudah menetap di Serian selama setahun ekoran mengikuti isteri pulang ke Sarawak turut memaklumkan kesihatan adalah keutamaan dengan mengehadkan aktiviti luar rumah.
“Kalau boleh, duduk di rumah saja sebab di luar bukan sahaja membahayakan kesihatan, malah kalau memandu pun risikonya lebih tinggi kerana tidak nampak jalan sangat.
“Harap pemandu yang datang dari jauh, apabila masuk Serian, berhati-hati dan sentiasa berwaspada kerana jerebu di sini tebal dan jarak penglihatan memang terhad,” katanya.
Dalam perkembangan sama, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian mencecah 521 setakat jam 2 petang semalam, menggambarkan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di daerah berkenaan.
Dalam keadaan itu, orang awam disarankan mengurangkan aktiviti luar dan menggunakan pelitup muka yang sesuai, terutama ketika berada di kawasan terjejas.
Mereka yang mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk atau ketidakselesaan akibat jerebu pula dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan kesihatan.


