HOUSTON: Jerman memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan aksi meyakinkan apabila membelasah Curaçao 7-1 dalam saingan Kumpulan E, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann tidak berdepan masalah untuk menguasai perlawanan meskipun Curaçao sempat mencuri perhatian menerusi gol penyamaan Livano Comenencia pada babak awal permainan.
Bagaimanapun, kegembiraan pasukan Caribbean itu tidak bertahan lama apabila Jerman kembali menguasai perlawanan dan menjaringkan enam gol lagi untuk menutup aksi dengan kemenangan besar.
Kai Havertz muncul antara tonggak kemenangan apabila meledak dua gol, manakala Felix Nmecha turut mencatat nama sebagai penjaring selepas membuka tirai jaringan buat Jerman.
Kemenangan itu memberi petanda awal kebangkitan Jerman yang sebelum ini bergelut dalam beberapa edisi Piala Dunia, selain menjadi kemenangan pertama mereka dalam aksi pembukaan sejak muncul juara dunia pada 2014. – TVS

