KUCHING: Jeti Pontoon Esplanade Telaga Air yang sebelum ini runtuh dan membahayakan keselamatan penduduk, khususnya pelajar, kini siap dinaik taraf dan boleh digunakan semula oleh komuniti setempat.
Projek naik taraf dan baik pulih Jeti Kayu Belian Kampung Telaga Air itu diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telaga Air hari ini, dengan penyerahan disaksikan wakil Pejabat Parlimen P193 Santubong.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerja naik taraf itu dilaksanakan susulan aduan dan pemantauan di lapangan terhadap keadaan jeti sebelum ini yang berada dalam keadaan uzur dan berisiko.

“Pada 16 November tahun lalu, saya turun padang melihat sendiri keadaan Jeti Pontoon Esplanade Telaga Air yang runtuh dan membahayakan penduduk, khususnya anak-anak yang berulang-alik ke sekolah.
“Ketika itu, banyak aduan diterima dan kita juga melihat sendiri keadaan jeti kayu sementara yang digunakan dalam keadaan tidak selamat.
“Dengan siapnya projek menaik taraf jeti ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Telaga Air, malah turut digunakan oleh penduduk Kampung Sungai Aur, Kampung Sibu Laut dan Kampung Mersan,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.

Jelas Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong, antara pengguna utama kemudahan itu ialah pelajar sekolah, guru serta nelayan yang bergantung kepada jeti berkenaan sebagai laluan harian dan akses mencari rezeki.
Justeru beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi teknikal yang terlibat, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak serta pihak kontraktor atas pelaksanaan projek tersebut.
“Usaha memastikan kemudahan yang lebih baik dan selamat akan terus menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat Santubong,” katanya lagi.


