KUCHING: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus memperkukuh usaha membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi pelaksanaan Operasi Gegar (Ops Gegar) dan Operasi Sapu (Ops Sapu) yang dijalankan dari 8 hingga 10 November 2025.
Operasi selama tiga hari itu menumpukan serbuan di beberapa premis hiburan terkemuka di bandar Miri serta penempatan pekerja kilang papan di Pekan Tatau.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, seramai 145 individu terdiri daripada warganegara dan warga asing telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa sepanjang operasi berkenaan.
Pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras aktiviti pelanggaran pas dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
Hasil pemeriksaan mendapati 102 tangkapan dilakukan melibatkan PATI atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua individu yang ditahan kini melalui proses dokumentasi dan siasatan lanjut bagi tindakan undang-undang.
Selain itu, empat majikan turut diberikan notis hadir ke Pejabat Imigresen untuk memberi keterangan dan membantu siasatan.
JIM Sarawak dalam kenyataannya menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menggajikan atau melindungi PATI selaras dengan komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.




