Jimney hilang diganggu mahkluk halus

LIMBANG: “Saya menemui mangsa sedang ketawa sendiri disebalik daun-daun pokok nipah, kata Yusuf, antara warga tempatan yang turut serta dalam operasi pencarian.

Menurut Yusuf, beliau menjumpai mangsa seperti sedang bercakap dengan seseorang dan tidak sedar akan kehadirannya sehinggalah beliau memegang bahu mangsa.

Katanya, melihat dari kedudukan terakhir perahu mangsa dijumpai, untuk sampai ke kawasan ianya dijumpai perlu melalui hutan bakau yang jauh dan menyeberangi lagi sungai luas.

“Apa yang menghairankan, kawasan tersebut sudah banyak kali dilalui beliau bersama-sama dengan penduduk tempatan yang lain.

“Lebih menghairankan, mangsa boleh pergi sejauh itu sedangkan dia tidak pandai berenang,” katanya ketika ditemui oleh pihak Suara Sarawak selepas Yusuf tiba di jeti Kampung Limpaki.

Mangsa, Jimney Abdullah @ Tan Hui Ming pula berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui.

Mangsa mendakwa dapat melihat dan mendengar orang ramai sedang mencarinya namun dia tidak dapat menyahutinya semula.

Penduduk tempatan percaya bahawa mangsa telah diganggu oleh mahkluk halus kerana kawasan tersebut terkenal dengan penunggunya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang di laut semasa sedang menjalankan aktiviti menangkap ketam setelah perahu mangsa ditemui tanpa pengemudi di Kuala Sibukang, tengah hari kelmarin.

Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dengan menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.