KOTA SAMARAHAN: Lebih 300 penduduk hadir menyertai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sempena sambutan 60 Tahun Kemerdekaan Sarawak di perkarangan Masjid Kampung Empila, di sini, hari ini.
Program meriah seawal jam 7.30 pagi sebelum majlis ditambah dengan kedatangan rombongon konvoi merdeka yang terdiri daripada lebih 60 penunggang motosikal dari luar kawasan.
Lebih menarik, pengunjung rata-rata terdiri daripada golongan belia tempatan di samping tapak pameran dan gerai jualan mempamerkan produk-produk tempatan.
Penghulu Kampung Empila Man Nasa berkata, objektif utama program dalam menyemarak semangat kemerdekaan khususnya terhadap golongan muda dilihat tercapai berdasarkan penglibatan aktif mereka sepanjang majlis.
“Kita tidak menyangka sambutan begitu meriah khususnya para belia di kampung ini berikutan hari program jatuh pada hari bekerja.
“Lebih membanggakan hampir kesemua kampung ada menghantar wakil masing-masing untuk memeriahkan majlis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi hari ini.
Man menambah, penglibatan golongan belia dalam menguruskan program serta penyertaan dalam konvoi kali ini diharap dapat memberi pendedahan terbaik kepada mereka dalam memartabatkan hari kemerdekaan Sarawak.
Sementara itu, beliau mendedahkan program berjalan lancar dengan pembabitan lebih 100 peserta konvoi termasuk pemandu kenderaan turut serta.

SEMANGAT….Man (tiga kiri hadapan) memegang bendera bersama-sama Residen Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang (empat kiri)



