PUTRAJAYA: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) tidak dikategorikan mengikut agama tertentu, sebaliknya merangkumi wakil dari setiap agama.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, memaklumkan bahawa Jawatankuasa ini turut disertai tiga wakil kerajaan, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
“JK HARMONI tidak membincangkan sebarang perkara berkaitan hal ehwal agama Islam.
“Urusan berkaitan Islam hanya dibincangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, yang tidak melibatkan wakil daripada agama lain,” jelasnya melalui satu hantaran di aplikasi Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa JK HARMONI membawa fahaman pluralisme.
Menurutnya, tujuan jawatankuasa ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan mesra antara pemimpin dengan penganut pelbagai agama dalam semangat saling hormat-menghormati satu sama lain.
“Kita mahu menggalakkan semua penganut agama memahami serta menghormati Perlembagaan Persekutuan serta meningkatkan penghayatan rakyat terhadap nilai agama selaras dengan prinsip Rukun Negara.
“Jawatankuasa ini juga akan mencadangkan program yang dapat memperkukuh kefahaman terhadap kepelbagaian agama, budaya dan adat resam bagi keharmonian negara,” ujarnya.
Aaron turut memaklumkan bahawa JK HARMONI berfungsi sebagai platform dialog dan kerjasama untuk memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Mengulas lanjut, katanya, JK HARMONI merupakan penjenamaan semula Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA), yang beroperasi dari 2010 hingga 2019.
Penubuhan Kementerian Perpaduan Negara pada 2020 membawa kepada perubahan nama jawatankuasa ini kepada JK HARMONI.






