SIBU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Uma Daro Liling Padong, Sungai Asap, Belaga berjaya mengharumkan nama Sarawak dalam Anugerah Aspirasi Desa Madani (ADM) 2026 di Jengka, Pahang, baru-baru ini.
Penasihat JKKK, Pemanca Umek Jeno berkata, mereka meraih tempat ketiga dalam Anugerah ADM 2026 sekaligus menerima Anugerah Khas Video Viral.
“Bagi Anugerah ADM 2026, kami berjaya membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi. Manakala, Anugerah Khas Video Viral melayakkan kami membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi,” katanya.
Pencapaian itu diperoleh selepas JKKK Rumah Panjang Uma Daro tersenarai bersama 13 lagi JKKK dari seluruh negara dalam anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kami amat berbangga dengan kejayaan ini kerana bukan sahaja berjaya mengharumkan nama Sarawak, malah satu penghargaan besar buat kami yang berada di kawasan pedalaman. Walaupun di pedalaman, kami mampu melakukan yang terbaik untuk Sarawak,” jelasnya.
Kejayaan tersebut membuktikan bahawa pembangunan dilaksanakan Kerajaan Sarawak selama ini merangkumi kawasan pedalaman. JKKK akan terus berusaha melakukan yang terbaik agar kejayaan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.


Rumah Panjang Uma Daro didiami oleh kira-kira 900 penduduk yang menghuni lapan blok bangunan melibatkan 115 pintu. Penempatan masyarakat Orang Ulu daripada etnik Kayan itu terletak di bawah Skim Penempatan Semula Bakun (BRS), Sungai Asap, Belaga.
Terdahulu, Anugerah ADM disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Manakala, Anugerah Khas Video Viral disampaikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.


