KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih penjagaan sementara terhadap mangsa rogol bawah umur sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau mampu memberikan perlindungan yang selamat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan itu bertujuan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terjamin selain mengelakkan mereka daripada terus terdedah kepada sebarang risiko.
“Kejadian seperti ini sangat membimbangkan. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan perlakuan kejam terhadap kanak-kanak terus berlaku. Perlindungan terhadap mereka adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas berhubung laporan seorang peniaga nasi lemak yang dituduh merogol anak perempuan kepada teman wanitanya yang masih di bawah umur di Kuala Lumpur.
Mengikut kertas pertuduhan, suspek didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun empat bulan di sebuah kediaman Taman Seraya, dalam daerah Hulu Langat kira-kira jam 4 petang pada pertengahan 2024.
Sehubungan itu, Nancy berkata, sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkeupayaan untuk menjaga mangsa, pihak JKM bersedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara bagi memastikan mangsa berada dalam persekitaran yang selamat.
Menurut beliau, mangsa juga berhak menerima sokongan psikososial secara berterusan bagi membantu proses pemulihan emosi dan mental, terutama selepas melalui pengalaman traumatik.
Nancy menyeru orang ramai tidak berdiam diri sekiranya mengetahui sebarang kejadian penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak.
Sebarang maklumat boleh dilaporkan menerusi Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus memperkukuh langkah-langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan terhadap kanak-kanak. Setiap daripada mereka berhak menjalani kehidupan yang selamat, sihat dan bermaruah,” tegasnya.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu antara semua pihak termasuk keluarga, masyarakat dan agensi kerajaan perlu dilaksana secara menyeluruh bagi membendung kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak daripada terus berulang.


