ARTIKEL

Nancy ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 peringkat negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari

JKM tunggu siasatan polis kes remaja 13 tahun cederakan warga emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunggu perkembangan siasatan polis sebelum menentukan tindakan lanjut terhadap remaja berusia 13 tahun yang didakwa mencederakan seorang warga emas dengan pisau di Kanowit, Khamis lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JKM sudah melawat keluarga remaja berkenaan dan bersedia menyediakan laporan jika diperlukan pihak berkuasa.

“JKM sudah melawat keluarga (mangsa). Bagaimanapun, setakat ini kes masih dalam tindakan polis, oleh itu kita menunggu pihak polis sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 peringkat negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Nancy berkata, keputusan mengenai penempatan remaja itu, sama ada dikembalikan kepada keluarga atau ditempatkan di institusi, bergantung kepada penilaian kes serta keputusan mahkamah.

Dalam pada itu, beliau berkata, penilaian psikiatri ialah sebahagian daripada tindakan yang boleh dilaksanakan JKM bagi memahami masalah yang dihadapi remaja berkenaan dan tidak perlu semestinya menunggu keputusan mahkamah.

“Bagi tindakan yang melibatkan undang-undang, kita perlu menunggu keputusan pihak polis,” tambahnya.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang lelaki berusia 69 tahun mengalami kecederaan ringan di bahu kiri selepas didakwa dicederakan menggunakan pisau di sebuah tandas awam di Kanowit.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Kanowit.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintenden Junical Ujal sebelum ini berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.29 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU