ARTIKEL

Anak kampung Pasir Pandak buktikan bakat seni berkualiti tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pementasan dramatari epik The Origin of Pulau Keris 2: Kebangkitan Waris Hitam berjaya menjadi pentas utama untuk mengetengahkan keunikan seni persembahan, warisan budaya dan legenda tempatan masyarakat pesisir pantai itu.

Pementasan yang berlangsung di SB Sunset Kuching, pesisir pantai Kampung Pasir Pandak malam tadi merupakan kesinambungan siri pertama The Origin of Pulau Keris, yang mengangkat naratif perjuangan, pengorbanan, pengkhianatan serta kebangkitan seorang pewaris dalam mempertahankan maruah dan tanah warisan.

Menerusi siri kedua ini, penonton dibawa menyelami perjalanan Bayu Arjunna, pewaris Panglima Hitam yang bangkit meneruskan perjuangan ayahandanya selepas mengharungi pelbagai dugaan dan kehilangan insan tersayang.

Pengurus Projek Pementasan, Rafidah Bujang berkata, penghasilan dramatari ini bukan sekadar memberi hiburan, malah menjadi wadah penting bagi memperkenalkan semula legenda tempatan kepada generasi muda.

“Hasrat utama kami adalah untuk mengangkat kembali cerita rakyat, seni persilatan, tarian tradisional serta identiti masyarakat Melayu pesisir Sarawak agar terus dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang.

Sekitar rakaman semasa pementasan The Origin of Pulau Keris 2: Kebangkitan Waris Hitam.

“Melalui Persatuan Anak Pantai Kampung Pasir Pandak, kami mahu membuktikan bahawa anak-anak kampung juga mempunyai bakat, kreativiti dan kemampuan untuk menghasilkan persembahan seni berkualiti tinggi yang sarat dengan nilai budaya serta mesej perjuangan,” katanya menerusi kenyataan.

Pementasan berprestij ini mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.

Turut hadir memberi sokongan ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, serta wakil lain.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, acara ini turut membuka ruang dan peluang kepada golongan belia serta penduduk kampung untuk bergiat aktif dalam pelbagai cabang industri kreatif seperti seni persembahan, lakonan, tarian, pengurusan pentas dan produksi.

“Dramatari itu turut menampilkan keunikan tersendiri dengan menggabungkan elemen seni silat Melayu, muzik epik, kostum klasik, serta penataan pentas yang menghidupkan suasana kehidupan masyarakat zaman dahulu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang memberikan sokongan bagi menjayakan pementasan ini, khususnya DBKU, KJM N.4 Pantai Damai, pertubuhan masyarakat, NGO, barisan pelakon, penari, kru produksi serta sukarelawan.

Beliau berharap The Origin of Pulau Keris dapat terus dikembangkan sebagai salah satu produk seni budaya dan ikon tarikan pelancongan komuniti di Sarawak, khususnya di Kampung Pasir Pandak.

“Kami berharap usaha yang bermula daripada komuniti kampung ini mampu berkembang menjadi sebuah karya seni yang lebih besar serta mendapat sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.

“Legenda Pulau Keris bukan sekadar sebuah cerita, tetapi lambang perjuangan, keberanian, dan semangat mempertahankan warisan yang ingin kami abadikan,” jelasnya.

Pementasan The Origin of Pulau Keris 2: Kebangkitan Waris Hitam sekali gus membuktikan penglibatan aktif masyarakat akar umbi mampu memainkan peranan penting dalam memarakkan industri kreatif, memelihara warisan seni budaya serta merancakkan sektor pelancongan komuniti di Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sematan berpotensi dinaik taraf jadi daerah penuh

SEMATAN: Daerah Kecil Sematan berpotensi dinaik taraf menjadi daerah penuh pada masa hadapan, namun cadangan itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan, kata Premier Sarawak, Datuk