ARTIKEL

Murid ada 28 kaum, SJKC Chung Hua Tudan cermin keunikan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Kepelbagaian murid daripada 28 kaum menjadikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan di sini antara institusi pendidikan yang mencerminkan keunikan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, kepelbagaian latar belakang murid itu menjadi keistimewaan tersendiri sekolah berkenaan yang wajar dihargai dan dipelihara.

Menurutnya, keunikan tersebut turut membezakan SJKC Chung Hua Tudan daripada sekolah lain, khususnya dari segi kepelbagaian kaum dalam kalangan muridnya.

“Keistimewaan SJKC Chung Hua Tudan terletak pada kepelbagaian muridnya yang terdiri daripada 28 kaum.

“Bukan mudah untuk menemukan sekolah lain di seluruh negara yang menghimpunkan murid daripada 28 kaum seperti sekolah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-20 SJKC Chung Hua Tudan di Grand Palace Hotel, di sini, malam tadi.

Keunikan komposisi murid sekolah itu turut mendapat perhatian apabila 71 peratus daripada keseluruhan muridnya direkodkan terdiri daripada kalangan Bumiputera pada 2019.

Ketika itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut memuji peranan sekolah berkenaan dalam menghimpunkan murid daripada pelbagai kumpulan etnik di bawah satu institusi pendidikan.

BERUCAP… Lee ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-20 SJK(C) Chung Hua Tudan di Grand Palace Hotel, Miri, malam tadi.

Sehubungan itu, Lee menyeru semua pihak supaya terus menghargai dan memelihara sekolah berkenaan, selain berganding bahu dengan kerajaan bagi memastikan pembangunannya dapat diteruskan.

Mengimbas sejarah penubuhannya, Lee berkata, usaha mendapatkan kelulusan bagi sebuah sekolah rendah Cina baharu di Tudan bermula ketika kawasan berkenaan dan Piasau Jaya masih menjadi kawasan ladang.

Menurutnya, permohonan penubuhan sekolah itu pada peringkat awal berdepan pelbagai kesukaran sehingga ada pihak beranggapan kelulusan tersebut mustahil diperoleh.

“Bagaimanapun, usaha yang dilaksanakan bersama pemimpin masyarakat akhirnya membuahkan hasil apabila permohonan bagi sebuah sekolah rendah dengan enam blok di Tudan berjaya diluluskan,” katanya.

Lee berkata, cabaran seterusnya ialah mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai pembinaan sekolah berikutan ketiadaan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Menurutnya, keadaan itu mendorong mereka mendapatkan bantuan sebuah syarikat swasta yang bersetuju melaksanakan pembinaan terlebih dahulu, manakala pembayaran dibuat secara berperingkat.

Malah, beliau bersama beberapa pemimpin masyarakat turut menggunakan wang sendiri bagi membantu melunaskan hutang kepada kontraktor.

Sementara itu, Lee berkata, perkembangan sekolah berkenaan pernah menyaksikan jumlah murid meningkat daripada lebih 300 kepada lebih 2,000 orang sehingga bilik darjah sedia ada tidak mencukupi.

“Keadaan itu mendorong usaha mendapatkan peruntukan tambahan, termasuk bantuan daripada Kerajaan Sarawak, bagi memperluas kemudahan sekolah,” katanya.

Perkembangan tersebut turut menyaksikan pembinaan sebuah bangunan baharu tiga tingkat yang menempatkan 36 bilik darjah berkos RM2.8 juta dan siap pada Oktober 2018.

Selain itu, sebuah dewan baharu turut dibina sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan sekolah berkenaan.

Untuk rekod, SJKC Chung Hua Tudan mula beroperasi pada 2007 hasil usaha pemimpin masyarakat dan Lembaga Pengurusan Sekolah yang diterajui bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU