MIRI: Pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah dan ikrar pendermaan organ menjadi antara usaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Miri bagi menggalakkan pengesanan awal penyakit serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan.
Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, program bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia itu turut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan khidmat nasihat perubatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara langsung.
Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan merangkumi pemeriksaan tekanan darah, paras gula, asid urik, ketumpatan tulang, analisis komposisi lemak badan dan penilaian fisioterapi, selain pendaftaran mamogram percuma bagi wanita yang layak berusia 40 tahun ke atas.
“Program ini sangat bermanfaat kerana orang ramai bukan sahaja berpeluang menderma darah dan membuat ikrar pendermaan organ, malah mendapatkan pelbagai pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Usaha seperti ini penting untuk menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan awal dan mengambil langkah pencegahan sebelum berdepan masalah kesihatan yang lebih serius,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di PBSMM Cawangan Miri, di sini, hari ini.

pendermaan organ PBSM Cawangan Miri, hari ini.
Katanya lagi, program yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang itu turut menyediakan khidmat urutan, nasihat penjagaan luka serta ceramah oleh dua doktor mengenai kesedaran kanser, pencegahan penyakit dan amalan hidup sihat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penganjuran pasar kraf pada program itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan, penggiat kraf dan peniaga kecil untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada masyarakat.
“Pasar berkenaan menampilkan hasil kraf tangan, karya seni, makanan tempatan, perkhidmatan kecantikan, hiasan acara serta demonstrasi pembuatan kraf, sekali gus menggalakkan sokongan terhadap perniagaan tempatan.
“Gabungan aktiviti kesihatan dan keusahawanan ini bukan sahaja menarik penyertaan komuniti, malah memberi manfaat kepada peniaga serta pengunjung,” jelasnya.
Beliau turut berharap program seumpama itu diteruskan bagi memperluas pendidikan kesihatan, khususnya mengenai penjagaan kesihatan wanita, kesihatan tulang dan kemahiran asas menyelamatkan nyawa, selain menggalakkan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan kesedaran supaya orang ramai tidak hanya mendapatkan rawatan apabila jatuh sakit, sebaliknya mengambil langkah menjaga kesihatan lebih awal melalui pemeriksaan berkala dan amalan hidup sihat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan penderma darah, petugas perubatan dan penaja yang menjayakan program itu, sekali gus membolehkan lebih ramai penduduk menikmati perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan.



