SIBU: Masjid perlu berperanan sebagai nadi penyatuan umat Islam dengan menjadi pusat ilmu, kegiatan masyarakat dan khidmat komuniti, bukan sekadar tempat menunaikan ibadah khusus.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha mengimarahkan masjid memerlukan pendekatan kreatif dan inovatif serta pengurusan yang berintegriti bagi memastikan institusi itu terus relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.
“Masjid sepatutnya menjadi pusat bukan sahaja sebagai tempat untuk kita mengamalkan ibadah khusus, tetapi juga menjadi tempat untuk kita merapatkan hubungan masyarakat.
“Jadi, inilah peranan sebenarnya supaya kita dapat bukan sekadar mengurus tetapi mengimarahkan masjid sesuai dengan menjadi pusat ilmu, pusat pentadbiran, pusat menghimpunkan masyarakat dan memberi khidmat kepada masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Tengah di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, semalam.
Tambah Fadillah, jawatankuasa pengurusan masjid juga perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran serta menyesuaikan pendekatan dengan perkembangan teknologi bagi menarik lebih ramai masyarakat bersama-sama mengimarahkan masjid.
Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa usaha mengimarahkan masjid ialah cabaran yang memerlukan komitmen berterusan, khususnya dalam membentuk kekuatan dalaman, keimanan dan penghayatan nilai Islam dalam kalangan masyarakat.
Mengulas cabaran umat Islam di Sarawak, beliau berkata penekanan perlu diberikan kepada kualiti masyarakat berbanding jumlah jemaah semata-mata.
“Kuantiti tidak penting, kualitilah yang kita perlukan. Kualiti ini hanya akan wujud kalau kita dapat benar-benar menerapkan nilai Islam dalam kalangan masyarakat kita,” ujarnya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pembentukan umat Islam sebagai khairu ummah atau sebaik-baik umat perlu disokong oleh pencapaian yang baik dalam aspek ekonomi, moral dan pendidikan.
Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Islam Sarawak (MIS) dapat memperbanyak program bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran jawatankuasa pengurusan masjid supaya mereka mampu memperbaiki tadbir urus serta memperkukuh peranan masjid sebagai institusi penyatuan umat Islam.




