ARTIKEL

Konsert Sound of Borneo wajar jadi acara tahunan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keunikan gabungan alat muzik tradisional pelbagai etnik dengan sentuhan irama moden dan progresif menerusi Konsert Sound of Borneo 2026 membuktikan kekayaan warisan muzik Sarawak berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, persembahan itu bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak menerusi gabungan muzik tradisional dan kontemporari.

Menurutnya, penggunaan alat muzik tradisional seperti sape, gambus dan gendang dalam susunan muzik moden berjaya menghasilkan irama fusion yang unik tanpa menghilangkan identiti serta keaslian melodi tradisional.

“Semua persembahan sangat menakjubkan dan menghiburkan. Setiap pemuzik berjaya menampilkan keunikan alat muzik tradisional pelbagai etnik melalui gubahan muzik, irama dan nyanyian yang moden serta progresif.

“Gabungan ini membuktikan muzik tradisional mampu terus berkembang mengikut peredaran zaman tanpa meminggirkan warisan budaya asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persembahan Konsert Sound of Borneo 2026 yang berlangsung di Pentas Kesenian Regata Sarawak 2026, Tebingan Kuching, di sini, malam tadi.

Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Seni Sarawak (MSS) atas usaha menganjurkan konsert berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting untuk mengetengahkan bakat seni serta warisan muzik pelbagai etnik di Sarawak.

Beliau berpandangan, penganjuran konsert seumpama itu wajar dijadikan acara tahunan kerana berpotensi menarik kehadiran masyarakat pelbagai kaum, selain pelancong daripada dalam dan luar negara.

“Acara seperti ini seharusnya dijadikan acara tahunan di Sarawak kerana keunikannya mampu menarik minat masyarakat pelbagai kaum serta pelancong antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa muzik mempunyai kekuatan tersendiri sebagai medium penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang etnik, budaya mahupun bahasa.

Katanya, persembahan yang menggabungkan irama pelbagai etnik bukan sahaja memperkaya landskap seni persembahan tempatan, malah mampu memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak serta seluruh Borneo.

Konsert Sound of Borneo 2026 menampilkan barisan artis dan pemuzik termasuk Jerry Kamit, Fauziah Gambus, Razali Kulingtangan, Suk Bini’e serta Orkestra Tradisional Negeri Sarawak (TONS), sekali gus menyerlahkan kepelbagaian khazanah muzik tradisional dalam persembahan bercorak kontemporari.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Mix FC juara tanpa kalah

KUCHING: Mix FC membuktikan keunggulan apabila menamatkan saingan tanpa kalah untuk menjuarai Piala RHB Empat Penjuru Edisi Pertama 2026 selepas mengutip tujuh mata daripada tiga