ARTIKEL

Mix FC juara tanpa kalah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mix FC membuktikan keunggulan apabila menamatkan saingan tanpa kalah untuk menjuarai Piala RHB Empat Penjuru Edisi Pertama 2026 selepas mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan di Padang KDFA, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Mix FC mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri, termasuk membenam wakil Indonesia, Pontlam FC 3-0 dalam perlawanan terakhir bagi mengesahkan kejuaraan sulung pertandingan berkenaan.

Pengerusi Pertandingan, Razak Hashim, berkata, edisi pembukaan itu berlangsung lancar dengan keempat-empat pasukan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang saingan, sekali gus mencapai matlamat penganjurannya.

“Syukur, alhamdulillah, semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua pasukan dan pemain amat membanggakan, bermula daripada perlawanan pertama sehingga aksi terakhir penentuan juara.

“Keseluruhan pertandingan juga berjalan lancar seperti yang dirancang dan saya amat berpuas hati dengan komitmen semua pihak yang terlibat,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Razak berkata, kejayaan edisi pertama itu memberi dorongan kepada pihak penganjur untuk meneruskan Piala RHB Empat Penjuru sebagai pertandingan bulanan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pasukan tempatan bersaing secara kompetitif.

Menurutnya, edisi kedua dijadual berlangsung pada 21 November depan, disusuli edisi ketiga pada Disember dan edisi keempat pada Januari 2027.

“Kita merancang untuk meneruskan pertandingan ini secara bulanan supaya lebih banyak pasukan mendapat peluang bersaing, selain mengeratkan hubungan antara pemain menerusi bola sepak,” katanya.

Pada perlawanan pembukaan, Mix FC terikat 1-1 dengan Rimberio FC sebelum memperkemas rentak permainan dan mencatat kemenangan 3-1 ke atas OGFC dalam aksi kedua.

Mix FC kemudian memastikan gelaran juara menjadi miliknya selepas menewaskan Pontlam FC 3-0, sekali gus menamatkan saingan dengan tujuh gol dijaringkan dan hanya dua gol dibolosi.

Kejayaan pasukan itu turut dilengkapkan dengan pengiktirafan individu apabila Zainudin Razali dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Pertandingan hasil persembahan konsisten sepanjang kejohanan.

Sementara itu, Rimberio FC menamatkan pertandingan di tempat kedua, diikuti Pontlam FC dari Indonesia di tempat ketiga, manakala OGFC di tempat keempat.

Keempat-empat pasukan menerima piala dan pingat mengikut kedudukan masing-masing, manakala anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi milik pemain Rimberio FC.

Kemuncak penganjuran dijadual berlangsung pada Februari 2027 menerusi Piala Juara-Juara Empat Penjuru yang akan menghimpunkan empat pasukan juara setiap edisi untuk menentukan juara keseluruhan pertandingan.

BERITA LAIN

Lindungi privasi digital

PADA abad ke-20, minyak dianggap aset paling berharga di dunia. Namun pada abad ke-21, gelaran itu semakin berbalik kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan

BERITA TERBARU

Pacu integriti sukan

MENJELANG Sukan SEA 2027, Sarawak bukan sahaja perlu memacu persiapan dari sudut infrastruktur, logistik dan keupayaan mengendalikan temasya berskala antarabangsa, malah wajib memastikan satu lagi