MIRI: Kos rawatan dialisis yang boleh mencecah RM3,000 sebulan menyebabkan hampir kesemua daripada lebih 328 pesakit buah pinggang di Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri bergantung kepada subsidi atau pengurangan bayaran bagi meneruskan rawatan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya sokongan berterusan masyarakat dan sektor korporat dalam meringankan beban kewangan pesakit, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, rawatan dialisis bukan sahaja melibatkan perbelanjaan tinggi, malah perlu dijalani secara berkala oleh pesakit yang memerlukannya.
“Kos dialisis di hospital swasta boleh melebihi RM2,000 hingga mencecah RM3,000 sebulan. Berapa ramai yang mampu menanggung perbelanjaan sebesar itu?
“Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri kini mempunyai lebih 328 pesakit dan hampir 100 peratus daripada mereka memerlukan subsidi atau pengurangan bayaran rawatan,” katanya pada Larian Amal Hotel Dynasty ke-22 yang disertai kira-kira 2,200 peserta, di sini, hari ini.

Lee, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, berkata, pusat dialisis berkenaan ditubuhkan bagi membantu pesakit buah pinggang, khususnya golongan B40 yang tidak mampu menanggung kos rawatan di hospital swasta.
Katanya, bayaran rawatan di pusat tersebut ditentukan mengikut kemampuan pesakit bagi memastikan golongan kurang berkemampuan terus mendapat akses kepada perkhidmatan dialisis.
“Pesakit yang memerlukan dialisis lazimnya perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu, sekali gus menyebabkan mereka menanggung perbelanjaan yang tinggi setiap bulan,” katanya.
Sehubungan itu, Lee menekankan kepentingan sumbangan masyarakat dan badan korporat bagi memastikan pusat dialisis berkenaan terus dapat membantu pesakit yang memerlukan.

Mengimbas sejarah Larian Amal Hotel Dynasty, beliau berkata, acara itu mula dianjurkan kira-kira 24 tahun lalu sebagai usaha mengumpul dana bagi menyokong penubuhan Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri.
“Meskipun kini memasuki edisi ke-22, larian amal berkenaan mempunyai sejarah selama 24 tahun berikutan penganjurannya terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Lee berkata, penyertaan kira-kira 2,200 peserta pada tahun ini mencerminkan semangat keprihatinan masyarakat Miri terhadap kebajikan golongan kurang bernasib baik.
“Tujuan larian ini bukan untuk mendapatkan pingat, tetapi untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Inilah semangat yang ingin kita semaikan dalam kalangan warga Miri. Kita mahu bandar raya Miri dikenali sebagai bandar raya penyayang,” katanya.
Selain memupuk semangat kebajikan, beliau berkata, program seumpama itu turut menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan sosial dalam komuniti.
Katanya, sebanyak 51 taman rekreasi mini dibangunkan di kawasan DUN Senadin merangkumi Kuala Baram hingga Jalan Riam bagi menyediakan kemudahan riadah dan menggalakkan penduduk melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga.





